Reman Patrick Yeoh disambung 2 hari


REMAN terhadap pelakon dan penyampai radio, Patrick Teoh, disambung dua hari lagi bagi membantu siasatan berhubung memuat naik kenyataan jelik dengan tujuan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Institusi Diraja Johor.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata  tempoh reman terhadap Teoh, 73,  sejak Ahad lepas sepatutnya berakhir hari ini.

“Kita (polis) sudah bawa (Teoh) ke majistret (Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk memohon pelanjutan tempoh reman), kita dapat dua hari lagi sehingga Khamis, 14 Mei. Kita akan terus menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita di Johor Bharu, hari ini.

Teoh ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya pada Sabtu lepas (9 Mei) dan sebuah komputer riba miliknya turut dirampas.

Sehari sebelum Teoh ditahan, polis Johor menerima satu laporan polis daripada orang awam berhubung kenyataan jelik di laman sosial Facebook berbaur hinaan terhadap Tunku Ismail. – Bernama, 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen