Sabak Bernam dan Manjung bukan lagi zon hijau Covid-19


Aminah Farid

SABAK Bernam di Selangor dan Manjung, Perak tidak lagi berstatus zon hijau apabila daerah itu masing-masing melaporkan satu kes aktif Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Rembau di Negeri Sembilan yang hilang status zon hijau minggu lalu turut mencatatkan kenaikan jumlah kes aktif daripada 87 kepada 120, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di daerah itu 184.

Maklumat itu setakat 12 tengah hari semalam.

Di Sarawak, Kota Semarahan diletakkan di zon kuning daripada merah selepas kes aktif turun daripada 39 kepada 36, sementara jumlah kes keseluruhan kekal 96.

Setakat 12 tengah hari semalam, jumlah zon merah berkurangan daripada 10 kepada 9, sementara zon kuning bertambah daripada 73 kepada 76.

Sebaliknya, zon hijau berkurangan daripada 118 kepada 116.

Malaysia melaporkan 67 kes baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan ialah 6,656 kes, dengan tiada kematian dilaporkan semalam.

Jumlah pesakit pulih sebanyak 5,025 atau 75.5% daripada keseluruhan kes Covid-19. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen