Bantuan Prihatin penyelesaian sementara masalah kewangan B40, M40


Aminah Farid

Tinjauan mendapati aliran tunai 67% responden B40 beralih dari negatif kepada positif selepas pakej rangsangan dilaksanakan, sementara 29% lagi responden M40 melaporkan hal yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

PAKEJ rangsangan ekonomi kerajaan Prihatin bernilai RM260 bilion dilihat membantu dalam meringankan kesulitan kewangan rakyat sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), menurut satu tinjauan.

Tinjauan Kesukaran Covid-19 oleh Asia School of Business mendapati aliran tunai 67% responden B40 beralih dari negatif kepada positif selepas pakej rangsangan dilaksanakan, sementara 29% lagi responden M40 melaporkan hal yang sama.

Tinjauan itu merangkumi 2,360 responden.

“Jelas pakej ini mencukupi untuk menyelesaikan masalah aliran tunai, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Bagi B40, ia sebenarnya meningkatkan aliran tunai jangka pendek sesuai dengan garis dasar pra-PKP, walaupun ini mungkin menyebabkan isi rumah miskin berhutang lebih banyak dalam jangka panjang,” kata tinjauan itu.

Tinjauan itu juga menunjukkan pakej rangsangan mengurangkan kemungkinan kemuflisan dalam satu bulan atau kurang di kalangan responden M40 yang mempunyai aliran tunai negatif .

Termasuk dalam pakej ini adalah Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

BPN adalah bantuan tunai sebanyak RM11 bilion yang bertujuan membantu meringankan masalah kewangan di kalangan masyarakat B40 dan M40.

Nurul Hidyawaty, seorang pekerja kantin sekolah memberitahu The Malaysian Insight kehidupannya terjejas teruk sejak kerajaan mengumumkan penutupan sekolah kerana Covid-19 pada 18 Mac.

“Saya terjejas teruk ketika PKP bermula kerana saya dan suami bekerja di tempat yang sama sehingga tiada pendapatan lain,” kata wanita berusia 36 tahun itu.

Nurul, ibu kepada dua anak itu berkata beliau dan keluarga bergelut dalam beberapa minggu pertama kerana mempunyai bayi berusia tujuh bulan dan anak berkeperluan khas yang perlu menjalani terapi setiap minggu.

“Ketika saya menerima bantuan awal RM1,000, saya segera membeli oven dan memulakan perniagaan kecil ayam panggang,” katanya.

Tanpa ada sebarang maklumat sama ada sekolah dibuka dalam waktu terdekat, Nurul kini tidak terlalu risau kerana beliau memiliki pendapatan sampingan untuk membantu memenuhi keperluan keluarganya.

Menurut Kementerian Kewangan, sebanyak RM5.5 bilion BPN diberikan kepada 7.78 juta penerima.

Kementerian berkata pada masa ini terdapat sekitar 10.6 juta penerima BPN.

Zunaida Mohamed, 50, memberitahu The Malaysian Insight ketika PKP pertama kali diumumkan, suaminya yang bekerja sebagai pemandu peribadi diarahkan mengambil cuti tanpa gaji.

Bagaimanapun, Zunaida berkata gaji pokok suaminya sebanyak RM2,100 tidak mencukupi kerana keluarga itu bergantung kepada elaun dan upah lebih masa, yang menjadikan pendapatan antara RM3,000 hingga RM3,500 setiap bulan.

“Ketika suami saya diminta mengambil cuti tanpa gaji, ia sangat memberi tekanan kepada kewangan kami sehingga kami terpaksa benar-benar berjimat,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata dengan bantuan wang tunai BPN, beliau dapat membeli barangan makanan untuk keluarganya.

“Jika kami hanya bergantung kepada gaji pokok suami saya, ia sebenarnya tidak cukup,” katanya, sambil memberitahu beliau sendiri tidak boleh bekerja kerana mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, menyebabkan suaminya sebagai satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga.

Bantuan tunai BPN diberi kepada isi rumah B40 dan M40, dan juga merangkumi individu.

Kementerian mengatakan fasa pertama BPN bermula pada 6 April, dan fasa kedua pada 4 Mei.

“Pakej rangsangan memang sedikit membantu, tetapi masih belum cukup, kerana kos sara hidup masih sangat tinggi,” kata Maslina Salleh, yang terpaksa menjual ayam Korea untuk menampung perbelanjaan harian.

“Saya mendapat RM1,000 daripada fasa pertama BPN, yang digunakan untuk membayar bil utiliti, internet untuk anak-anak saya belajar, dan perbelanjaan harian untuk makanan yang kadang-kala boleh mencapai RM100,” katanya.

Maslina berkata, wang tunai RM1,000 itu bertahan kurang dari sebulan.

Suaminya bekerja sebagai buruh kasar tetapi dengan keadaan sekarang, beliau kini menganggur. Akibatnya, Maslina terpaksa membiayai perbelanjaan keluarga.

Bagi penjual kuih Siti Rahayu, BPN membantu meringankan beban keluarganya.

“Dengan wang itu, kami dapat membeli bahan makanan dan membayar bil rumah kami,” kata ibu berusia 39 tahun itu.

Menurut tinjauan, pakej rangsangan kerajaan nampaknya membantu mengatasi kebanyakan masalah aliran tunai yang disebabkan oleh krisis Covid-19 untuk sementara waktu.

“Walaupun polisi itu berjaya menurunkan ketakmampuan bayar jangka pendek dalam simulasinya, masih ada sebilangan besar responden yang mungkin menghabiskan simpanan mereka dalam beberapa bulan seterusnya, menyaksikan terutama di kalangan B40 tanpa simpanan,” kata tinjauan itu. – 11 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen