Dr Mahathir juga kemuka usul undi tidak percaya Muhyiddin


Dr Mahathir Mohamad menghantar notis usul kepada Dewan Rakyat meminta izin untuk memasukan usul dan resolusi undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

DR MAHATHIR Mohamad menghantar notis usul kepada Dewan Rakyat meminta izin untuk memasukan usul dan resolusi undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Notis usul bertarikh 4 Mei, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, adalah usul kedua atas perkara sama yang dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Awal hari ini, Mohamad Ariff mengesahkan menerima maklum notis yang dihantar oleh Ahli Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal. Beliau juga sudah membalas surat Ketua Menteri Sabah itu memaklumkan notis usulnya ditolak.

Dalam notis usulnya, Dr Mahathir mencadangkan Dewan Rakyat membuat ketetapan bahawa Muhyddin tidak mempunyai keyakinan majoriti anggota dewan.

Usul itu jika diluluskan oleh Dewan Rakyat akan menjadikan Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, tidak lagi layak memegang jawatan perdana menteri.

Sama seperti notis usul yang dihantar oleh Shafie, notis usul oleh Dr Mahathir juga dibuat mengikut peraturan mesyuarat yang mensyaratkan ia didahului dengan pemberitahuan kepada Speaker Dewan Rakyat dalam tempoh tidak kurang 14 hari sebelum sidang.

Mohamad Arif dalam suratnya menolak notis usul Shafie berkata langkah Ahli Parlimen Semporna itu bertentangan dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan “kerana mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan perdana menteri.”

Dewan Rakyat ditetapkan bersidang sehari pada 18 Mei ini untuk pembukaan sidang penggal ketiga Parlimen ke-14 tanpa sebarang soal jawab untuk menteri dan persidangan hanya bagi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong serta usul daripada kerajaan.

Sidang Dewan Rakyat itu adalah yang pertama sejak Muhyiddin mengetuai pentadbiran baharu Perikatan Nasional yang menggantikan Pakatan Harapan, susulan langkah politik Bersatu bersama sebahagian ahli Parlimen PKR serta Umno dan PAS pada hujung Februari lalu.– 7 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen