Kos sara hidup tinggi masih isu utama, kata Merdeka Center


Kaji selidik Merdeka Center mendapati 72% pengundi meletakkan isu kenaikan kos sara hidup, kepayahan ekonomi serta peluang pekerjaan sebagai isu utama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2017.

KOS sara hidup dan beban ekonomi masih menyelubungi majoriti pengundi Malaysia, dedah kajian terbaru Merdeka Center, tujuh bulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Kaji selidik itu mendapati 72% pengundi meletakkan isu-isu ekonomi tersebut sebagai perkara yang paling membimbangkan mereka, jauh mengatasi isu-isu lain seperti jenayah dan masalah sosial, perkauman dan politik.

“Kaji selidik ini menggambarkan pengundi Malaysia yang sangat terjejas dengan kenaikan kos dan merasai tekanan biarpun angka-angka menunjukkan pertumbuhan makro ekonomi yang kukuh.

“Kaji selidik ini menunjukkan satu hingga dua dalam setiap sepuluh orang rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan barangan perlu seperti makanan untuk menampung hidup,” kata Merdeka Center, dalam satu kenyataan media hari ini.

Kaji selidik itu juga mendapati ada peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang terpaksa menambah hutang atau berbelanja dengan hutang kad kredit, serta menjual atau menggadai barang bagi menampung hidup.

Kaji selidik yang dibiayai oleh Merdeka Center  itu dijalankan antara 4 hingga 14 November lepas bagi meninjau persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa menjelang PRU14.

Ia melibatkan 1,203 pengundi berdaftar, terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera Muslim dan 6% Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak, yang mewakili profil pengundi Malaysia.

Kaji selidik itu juga mendapati ada sedikit perbaikan pada petunjuk ekonomi pada November 2017 berbanding dengan keadaan pada Januari 2017.

Misalnya, ia mendapati 29% responden pada November 2017 mengatakan tidak ada simpanan walaupun hanya RM500 untuk menghadapi kecemasan, berbanding 33% pada awal tahun.

Mereka yang rasa tertekan memikirkan masa depan turun sebanyak 4% daripada 68% pada Januari tahun ini.

Bagaimanapun mereka yang mengambil hutang baru baik dalam bentuk pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit meningkat sebanyak 2% kepada 20% dalam tempoh perbandingan yang sama.

Jumlah mereka yang berasa perlu menjual atau menggadai barangan untuk menampung hidup juga meningkat 1% kepada 11% berbanding Januari lalu.

Sejumlah 40% responden mengaku menangguh atau tidak mampu membayar bil utiliti seperti bil elektrik dan telefon, jumlah yang sama pada Januari.

Mereka yang tidak makan untuk berjimat duit juga kekal tidak berubah pada 15%, dalam tempoh yang sama perbandingan antara Januari dan November tahun ini.

Sejumlah 15% responden pula mengatakan mengalami konflik baru dalam masa enam bulan kebelakangan, peningkatkan 2% berbanding Januari lepas.

Mereka yang diwawancara melalui telefon itu dipilih secara rambang tetapi berasaskan kepada kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan mengundi, meliputi semua 222 kawasan parlimen di semua negeri. – 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen