Wartawan berhak membuat liputan semua sidang mahkamah terbuka 


GERAKAN Media Merdeka (Geramm) mengambil maklum laporan media terkait proses pendakwaan keatas anak sulung presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah Ahmad Zahid, serta pasangannya, Saiful Nizam Mohd Yusoff hari ini.

Menurut laporan beberapa agensi media tempatan, wartawan-wartawan telah sedia menunggu sejak awal pagi di dalam ruangan mahkamah bagi membuat liputan pendengaran yang dijalankan secara sidang terbuka dihadapan Majistret bertugas. 

Namun begitu, difahamkan sekurang-kurangnya lima orang wartawan yang hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya telah diarahkan keluar dari ruangan sidang tersebut tanpa diberikan alasan yang jelas.

Geramm berpandangan tindakan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahwa “tempat yang dalamnya mana-mana Mahkamah diadakan bagi maksud membicarakan apa-apa kausa atau perkara, sivil atau jenayah, hendaklah disifatkan sebagai suatu mahkamah terbuka dan awam yang kepadanya orang ramai pada amnya mempunyai akses.” 

Geramm ingin menegaskan bahawa semua wartawan  mempunyai hak yang sama dengan mana-mana orang awam untuk berada di dalam ruang mahkamah bagi tujuan membuat liputan, melainkan bagi pendengaran yang dijalankan dalam kamar hakim atau ‘in camera’ (tertutup) bagi tujuan keselamatan.

Dalam kes ini, terdapat orang awam lain yang dibenarkan untuk berada di ruang mahkamah sehingga selesai sidang.

Geramm percaya status pasangan tersebut yang boleh dikatakan berpengaruh tidak seharusnya menjadi pertimbangan dalam apa-apa keputusan yang diambil.

Maklumat yang seharusnya boleh didapati secara terus, tetapi akibat halangan tidak berasas, terpaksa diperoleh melalui Timbalan Pendakwa Raya bertugas setelah selesai sidang pendengaran.

Jika sekatan terhadap sumber maklumat utama diterima sebagai satu ‘norma baru’, wartawan akan semakin terdedah kepada risiko kesilapan fakta atau kegagalan menyampaikan maklumat yang berimbang.

Nurulhidayah dan pasangannya telah didenda masing-masing RM800 setelah mengaku bersalah atas tuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan.

*Gerakan Media Merdeka (Geramm)*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen