Anak perempuan, menantu Zahid didenda RM800 kerana langgar PKP


Bede Hong

Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff mengaku bersalah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Mei, 2020.

NURULHIDAYAH Ahmad Zahid Hamidi dan suaminya masing-masing didenda RM800 di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan lalu.

Anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff mengaku bersalah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Hukuman denda dijatuhkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim pagi tadi.

Nurulhidayah dan Saiful Nizam membayar denda tersebut.

Denda maksimum bagi kesalahan adalah RM1,000 atau penjara tidak lebih sebulan.

Pasangan itu didakwa melanggar PKP pada 20 April lalu kerana bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad dan Timbalan Menteri Alam Sekitar Masrizal Muhammad.

Nurulhidayah, 41, kemudian memuat naik gambar pertemuan di Instagram, dan mencetus kritikan ramai yang mendakwa beliau dan suaminya melanggar PKP.

Orang ramai juga menuduh Nurulhidayah menyalahgunakan kedudukan sebagai anak pemimpin politik untuk membolehkannya berbuat demikian.

Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.

Nurulhidayah dan suaminya diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar.

Kedua-duanya tidak bercakap kepada media selepas prosiding.– 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen