Banyak kedai makan pilih khidmat bawa pulang, penghantaran ketika PKPB


Ragananthini Vethasalam Aminah Farid Angie Tan

Peraturan dan syarat tidak jelas, kebimbangan kesihatan menyebabkan ramai majikan memilih untuk tidak membuka sepenuhnya operasi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Mei, 2020.

DIANGGARKAN lapan puluh peratus pengendali makanan dan minuman (F&B) memilih untuk hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran walaupun perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berkuatkuasa semalam membolehkan aktiviti ekonomi dibuka sepenuhnya semula bergantung kepada syarat dan peraturan. 

Pakatan Operator F&B Malaysia memberitau The Malaysian Insight yang lebih 1,000 ahlinya sepakat untuk tidak membenarkan pelanggan makan di dalam kedai kerana kebimbangan kesihatan.

Jurucakapnya Joshua Liew berkata kebanyakan ahli selesa meneruskan khidmat bawa pulang dan penghantaran kerana industri itu dianggap perkhidmatan perlu dan memang beroperasi sejak PKP dikuatkuasa Mac lalu.

Katanya, pemilik F&B juga bimbang dengan liabiliti yang terpaksa ditanggung mereka seperti kos perubatan pekerja yang dijangkiti Covid-19 sekiranya membenarkan pelanggan makan di kedai mereka.

Putrajaya dalam peraturan PKPB jelas menyatakan kos ujian dan rawatan Covid-19 perlu ditanggung majikan sekiranya pekerja mereka dijangkiti virus itu.

Liew berkata ada juga ahli yang tidak jelas dengan prosedur ditetapkan kerajaan dan mahu menunggu lebih lama sebelum membuka sepenuhnya operasi.

Mengambil contoh pengendali F&B di Lembah Klang yang ada antaranya perlu mengambil bahan dari Selangor tetapi negeri itu kini menangguhkan pelaksanaan PKPB.

“Banyak kekeliruan kerana ini,” katanya, menambah yang Putrajaya perlu lebih jelas dalam penyebaran maklumat.

Tambahnya, selain itu ramai pengenali F&B bergelut dengan jualan rendah kerana musim bulan Ramadan dan PKPB sedangkan kos masih kekal sama, menyebabkan wujud cabaran untuk mereka membuka sepenuhnya operasi masing-masing. – 5 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen