Selepas PKP dilonggarkan, pajak gadai jadi tumpuan ramai


Aminah Farid Angie Tan

Kedai pajak gadai jadi tumpuan selepas PKPB dilaksanakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Mei, 2020.

DI seluruh negara, antara kedai yang jadi tumpuan ramai selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat dikuatkuasa hari ini adalah kedai pajak gadai.

Tular di media sosial, gambar orang ramai berbaris panjang di hadapan kedai pajak gadai dipercayai untuk memajak barangan berharga atau membayar faedah pajakan mereka supaya tidak kehilangan barangan yang digadai.

Kedai pajak gadai ditutup sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa 18 Mac lalu.

The Malaysian Insight bercakap dengan beberapa orang yang beratur di hadapan kedai pajak gadai untuk mengetahui sebab mengapa mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan pajak gadai ketika ini.

Danish, 26, berkata beliau perlu membayar faedah pajakan barangan yang digadainya kerana masalah kewangan tahun lepas.

“Saya terpaksa bayar faedah sekarang atau saya berdepan risiko kehilangan pajakan.”

Danish memberitahu, faedah akan meningkat antara 1% sehingga 2% sekiranya beliau lewat membayar, yang selalunya dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pajakan.

“Ia seperti pinjaman bank. Awak ambil pinjaman dan ada enam bulan untuk bayar balik dengan faedah.

“Bagaimanapun, jika awak lewat bayar daripada tarikh diberi, faedah akan naik,” jelasnya.

Anand Kumar, 30, pula sudah beratur lebih setengah jam untuk membayar faedah pajakan rantai emas emaknya.

Seperti Danish, Anand bergegas membayar faedah pajakan itu.

Amalan kebiasaan pajakan adalah pelanggan memajak barangan berharga mereka untuk pinjaman wang.

Pemajak mempunyai tempoh sehingga enam bulan untuk membayar balik pinjaman dengan faedah. Sekiranya gagal berbuat demikian, beliau boleh melanjutkan tempoh pinjaman atau berisiko kehilangan barangan yang dipajak.

Di sebuah kedai pajak di Kuala Lumpur, pemeriksaan suhu badan turut dilakukan pemilik kedai dan hanya tiga orang dibenarkan berada dalam kedai pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, pemerhatian The Malaysian Insight mendapati penjarakan sosial masih belum dipatuhi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemajak Malaysia Tan Ho Keng memberitahu The Malaysian Insight yang banyak kedai pajak di beberapa negeri melaporkan kehadiran ramai pelanggan.

“Memandangkan kedai ditutup sejak 18 Mac dan hanya beroperasi semula hari ini, ramai pelanggan bergegas datang untuk bayar faedah barangan yang dipajak.

“Ada juga yang menebus kembali barangan mereka, ada juga yang memajak barangan untuk dapatkan duit,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pelanggan tidak perlu bimbang barangan mereka akan disita kerana kerajaan sudah meminta industri itu memberi tempoh bertenang tiga bulan kepada pelanggan.

Tambahnya, kedai pajak gadai juga akan terus mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan dikeluarkan kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen