Pengguna pengangkutan awam perlu patuhi SOP


Ravin Palanisamy

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong ketika mengadakan lawatan di stesen MRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Mei, 2020.

PENGGUNA pengangkutan awam perlu mematuhi semua prosedur operasi standard sebagaimana yang disarankan Kementerian Kesihatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata, pengendali pengangkutan awam telah diberikan garis panduan untuk dipatuhi.

Menurutnya, penting untuk pengguna diperiksa suhu badan dan memakai penutup mulut dan hidung.

“Selain mengamalkan penjarakan sosial, apabila semua memasuki stesen MRT, suhu badan mereka akan diperiksa. Sesiapa yang tidak melepasi pemeriksaan ini tidak akan dibenarkan menggunakan pengangkutan awam.

“Selepas suhu badan diperiksa, kami akan berikan pembasmi kuman.

“Kami juga meminta semua pengguna pengangkutan awam untuk memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan penularan virus,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke stesen MRT Bukit Bintang.

Hari ini merupakan hari pertama orang ramai dibenarkan keluar bekerja di bawah PKPB.

Wee juga berkata, pengendali akan menyediakan penutup hidung dan mulut pakai buang pada dua hari pertama PKPB.

“Walaupun ia tidak diwajibkan oleh undang-undang namun sebagai prasyarat, kita minta semua pengguna memakai penutup hidung dan mulut.

“Sekiranya mereka tiada penutup muka dan hidung, mereka boleh minta yang pakai buang daripada pengendali, mungkin untuk satu atau dua hari,” katanya.

Wee juga berkata, tempat duduk yang sering disentuh akan disanitasi sekerap mungkin.– 4 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen