Kami dilarang sentuh karya sendiri, kata artis Biennale KL 2017


Ikhwan Zulkaflee Muzliza Mustafa

(Dari kiri) Mohamad Idham Ismail, Aisyah Baharuddin dan Ahmad Azrel Kilheeny dari Pusat Sekitar Seni tidak dapat menyentuh karya seni mereka di Biennale Kuala Lumpur 2017, yang kini menjadi siasatan polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 November, 2017.

KUMPULAN artis Pusat Sekitar Seni (PSS), yang menarik diri dari Biennale Kuala Lumpur (KLB) 2017 selepas sebahagian karya mereka dirampas oleh pihak berkuasa, berkata mereka tidak dibenarkan menyentuh karya berkenaan sejak Sabtu lalu kerana diberitahu ia dalam “siasatan polis”.

Gabungan lima artis dari Malaysia dan dua artis Indonesia itu juga diberitahu oleh kurator pameran karya mereka “di bawah siasatan/pemerhatian polis Bukit Aman atas alasan berbaur komunisme”.

Jurucakap PSS, Aisyah Baharuddin berkata pihaknya berhasrat mahu mengeluarkan karya bertajuk “Under Construction” itu dari BSN dalam masa terdekat. 

KLB 2017 yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamed Nazri Aziz hari ini berlangsung sehingga 31 Mac 2018.

“Kami rasa mereka telah mencabul karya kami dengan mengeluarkan beberapa bahan yang merupakan sebahagian daripada karya. Kami juga tak dibenarkan meneruskan kerja.

“Sebagai tanda protes, kami tutup karya itu dengan jaring hitam,” kata Aisyah, 37, kepada The Malaysian Insight.

“Tidak ada gunanya kami pamerkan kerana karya belum siap. Sebahagian daripada karya itu juga sudah hilang,” tambahnya.

Aisyah memaklumkan antara yang dikeluarkan daripada karya itu ialah beberapa buah buku yang bukan ancaman serta sepotong perkataan “Rasuahahahahaha” yang dibentuk daripada huruf-huruf yang dipotong dari surat khabar dan majalah lama yang mereka kutip di balai seni itu.

Sementara itu, polis menafikan merampas sebahagian karya terlibat sebaliknya hanya menasihati kurator pameran bahawa beberapa bahan yang dipamerkan “tidak sesuai”.

“Kurator yang turunkan karya berkenaan dan beri semula kepada artis,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, seperti dipetik The Star Online.

Mazlan juga berkata polis sedang menyiasat kes ini.

Sementara itu, Aisyah berkata pihaknya belum menerima sebarang “hitam putih” mengatakan karya “Under Construction” sedang disiasat. 

“Tiada sebab (untuk penganjur) menggunakan pihak berkuasa dan polis untuk menakutkan kami. Saya tak takut, cuma kecewa. Saya tidak buat salah,” katanya.

“Mungkin mereka tak faham apa itu seni. Artis ni bukan penjayah,” tambah Aisyah.

Katanya lagi, PSS kini menunggu jawapan rasmi secara bertulis dari balai seni dan pengurusan KLB 2017 mengenai apa yang berlaku sebelum memutuskan langkah seterusnya, selepas menghantar surat penarikan diri semalam.

Beliau dan rakan-rakannya tidak menetapkan sebarang tempoh menunggu jawapan itu namun berkata “kesabaran kami ada tahapnya juga”.

“Kenapa kami tak boleh sentuh karya kami, sepatutnya mereka yang tak boleh sentuh,” tambahnya.

Aisyah berkata tindakan menanggalkan bahan dari karya “Under Construction” merupakan satu pencabulan ke atas karya artis. Selebihnya, beliau kesal kurator pameran tidak menyebelahi artis yang diundang bagi membuat pameran. 

Balai Seni Negara nafi

Ketua Pengarah BSN, Mohamed Najib Ahmad Dawa awal hari ini menafikan ada sekatan kebebasan untuk artis berkarya dalam KLB 2017.

Beliau juga menegaskan balai seni tidak membuat sebarang tapisan ke atas karya yang dipilih untuk menyertai pameran tersebut. 

Najib juga menafikan PSS menarik diri daripada pameran Alami Belas dan berulang kali menyuruh wartawan naik ke Aras 2, BSN untuk melihat karya tersebut.

“Kami tidak mengeluarkan karya tersebut. Anda dah naik ke tingkat dua? Sudah lihat karya tersebut?” kata Najib kepada wartawan selepas majlis perasmian tengah hari tadi.

Tinjauan The Malaysia Insight petang tadi mendapati “Under Construction” masih ada di ruang legar Aras 2 balai seni namun bertutup dengan jaring hitam terbuat daripada plastik.

Ditanya mengenai siasatan polis, Najib meminta wartawan menghubungi pihak polis sendiri untuk mengesahkan sebarang siasatan atau rampasan terhadap karya berkenaan.

Najib juga berkata dakwaan itu sengaja ditimbulkan oleh kumpulan artis berkenaan untuk “mencari publisiti murahan”.

“Tiada (polis rampas karya)... itu orang nak cari publisiti murahan,” katanya.

Karya PSS ditutup dengan jaring plastik hitam sebagai tanda protes. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 November, 2017.

Najib juga meminta The Malaysian Insight bercakap sendiri dengan kurator pameran apabila disoal tentang komunikasi pihak kurator dengan artis tersebut. 

Kurator yang dihubungi oleh The Malaysian Insight bagaimanapun enggan mengulas.

Aisyah sementara itu menafikan dakwaan tindakan menarik diri dan karya dari KLB 2017 sebagai “mencari publisiti murahan.”

“Segala sebab kami berbuat demikian telahpun kami nyatakan dalam surat kami kepada BSN,” katanya. 

PSS melalui sepucuk surat kepada Lembaga bertarikh 21 November memaklumkan penarikan diri mereka dan karya “Under Construction” dari KLB 2017. Surat itu diserahkan kepada pejabat Najib semalam.

Surat itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight, turut menyertakan kronologi penglibatan mereka dalam KLB 2017 sehingga membawa kepada penarikan diri dan karya semalam.

Surat itu antara lain menyatakan PSS “tidak meneruskan penyertaan” kerana “pencabulan hak seniman dan hak berekspresi seniman” iaitu “tindakan rampasan karya tanpa notis”.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan pameran yang enggan namanya disebut mengesahkan kepada The Malaysian Insight pihak polis datang ke balai seni untuk melihat karya tersebut, pertama kali pada Jumaat lepas sebelum datang untuk kali kedua pada Selasa lalu.

Kedatangan polis itu susulan aduan orang awam, katanya.

Karya kontroversi

Diminta menjelaskan tentang karya kontroversi itu, Aisyah berkata “Under Construction” merupakan sebuah instalasi media campuran, menggunakan barang terbuang yang dikitar semula.

Ia diberi judul demikian bagi menggambarkan pemikiran manusia, budaya dan masyarakat yang sentiasa berubah, katanya.

“Instalasi ini menyentuh cinta kepada kemanusiaan dan masyarakat. Saya tidak faham bahagian mana yang mengandungi unsur komunisme. 

“Adakah kerana perkataan ‘communal’ yang kami gunakan di dinding? 

“Semua yang kami paparkan adalah pendidikan. Kami cipta ruang dalam ruang untuk masyarakat melihat seni dengan lebih dekat,” jelasnya.

Aisyah turut mendedahkan rancangan pihaknya untuk memindahkan perpustakaan komuniti mereka di Padang Jawa untuk ditempatkan sementara di balai seni, sebagai sebahagian daripada projek karya berkenaan.

“Ini untuk kanak-kanak. Kebanyakan program kami sepanjang pameran ini adalah untuk kanak-kanak,” katanya.

Menurut Aisyah, Under Construction menelan belanja sekitar RM10,000, yang sebahagiannya dibiayai menggunakan geran sebanyak RM6,000 yang diterima untuk penyertaan pameran itu.

Selain Aisyah, PSS menggabungkan Ahmad Azrel Kilheeny, Mohamad Idham Ismail, Nurul Adeline Zainuddin dan Iltizam Iman Abd Jalil dari Malaysia. Mereka disertai oleh dua artis Indonesia, Isrol Triono dari Yogyakarta dan Selo Srie Mulyadi dari Jakarta.

The Malaysian Insight semalam melaporkan kumpulan artis dari Malaysia dan Indonesia yang bergabung atas nama Pusat Sekitar Seni dan Population Project menarik diri dari KLB 2017 atas alasan pencabulan hak artis berkarya. 

KLB 2017, yang mengangkat tema “Alami Belas”, julung kali diadakan di Malaysia dengan penyertaan 103 artis tempatan dan 11 artis antarabangsa. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen