Karya seni dikeluarkan dari pameran, artis tarik diri Biennale KL 2017


Ikhwan Zulkaflee

Karya seni bertajuk "Under Construction" ditutup oleh artisnya selepas menarik balik karya mereka daripada KL Biennale 2017, sebuah program seni kontemporari anjuran Balai Seni Lukis Negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 November, 2017.

SEBUAH kumpulan artis gabungan Malaysia dan Indonesia menarik diri daripada pameran seni Biennale Kuala Lumpur (KLB) 2017, sehari sebelum pembukaan rasminya esok, selepas mendakwa beberapa karya mereka dikeluarkan daripada pameran itu.

Kumpulan yang menarik diri itu ialah Pusat Sekitar Seni (PSS) dan Population Project, mewakili lima artis Malaysia dan dua Indonesia, yang bergabung menghasilkan karya instalasi bertajuk “Under Construction”.

Jurucakap PSS, Aisyah Baharuddin berkata pihaknya dimaklumkan oleh kurator BNL2017, polis datang ke Balai Seni Visual Negara (BSVN) semalam dan mengambil beberapa karya seni yang sedang dipasang untuk pameran yang dijadual dibuka esok.

Jelas Aisyah, beliau diberitahu karya yang dikeluarkan itu “ada unsur komunisme”.

“Ini mencabul hak seniman berkarya dan kami buat keputusan untuk tarik diri dari KLB 2017,” kata Aisyah kepada The Malaysian Insight.

Aisyah bagaimanapun berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis mengenai kedudukan karya tersebut dan mendakwa pihak penganjur tidak membantu mereka dalam kemelut ini.

Sementara itu, sumber yang lain memberitahu The Malaysian Insight karya PSS diambil oleh pihak polis yang datang bersama pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight polis bertindak berdasarkan aduan awam.

Seorang jurucakap BSVN bagaimanapun enggan mengulas dan memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.

The Malaysian Insight masih berusaha untuk menghubungi pihak polis untuk mendapatkan penjelasan.

PSS akan mengadakan satu sidang media esok bagi menerangkan kes ini.

Biennale Kuala Lumpur 2017, yang mengangkat tema “Belas”, julung kali diadakan di Malaysia dan akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamed Nazri Abdul Aziz pukul 10 pagi esok.

Selain Aisyah, artis PSS yang terlibat dalam dalam pameran seni ini ialah Ahmad Azrel Kilheeny, Mohamad Idham Ismail, Nurul Adeline Zainuddin dan Iltizam Iman Abd Jalil. Mereka disertai oleh dua artis Indonesia, Isrol Triono dari Yogyakarta dan Selo Srie Mulyadi dari Jakarta.

Awal tahun ini, karya pelukis Suddin Lappo dari Sabah yang dipamerkan di BSVN dalam pameran Sage: Ties of Tenggara “ghaib” dengan alasan “diturunkan sementara bagi penyelenggaraan galeri”.

Lukisan bertajuk The Subtitle itu mengangkat imej popular dari filem The Godfather yang diberikan sari kata berbunyi: “Aku akan bagi mereka dedak yang takkan bisa ditolak”. Ia terjemahan daripada dialog sebenar watak Vito Corleone yang mengucapkan: “I’ll make him an offer he can’t refuse”. 

Sehari kemudian, lukisan itu dinaikkan semula.

Pada Mac 2017, karya kumpulan pelukis Sabah, Pangrok Sulap bertajuk “Sabah Tanah Air-Ku” dikeluarkan daripada pameran Escape from the SEA, dua hari selepas pembukaannya. Pameran itu dianjurkan oleh Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL). – 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen