Mengapa politik kaum masih menjadi amalan di Malaysia


Wan Hamidi Hamid

UMNO hanya boleh disertai orang Melayu. Ia tidak dilihat ganjil, tidak dianggap sebagai kesalahan, malah diterima sebagai sesuatu yang normal. Bagi PAS pula, tiada siapa yang kisah dengan keahliannya yang hanya untuk orang Muslim.

Di luar masyarakat Melayu, MCA untuk Cina sahaja dan MIC kepada India semata-mata. Secara amnya, itulah keadaan politik Barisan Nasional dan sahabat-sahabatnya di Semenanjung.

Di Sabah dan Sarawak pula, masing-masing komponen BN dan pembangkang menubuhkan parti-parti pelbagai kaum tetapi biasanya majoriti keahliannya mewakili satu-satu kaum tertentu.

Di pihak Pakatan Harapan pula, tiada siapa kisah dengan dominasi Melayu dalam PKR walaupun ia berdaftar sebagai parti pelbagai kaum. Amanah juga dilihat sebagai parti orang Melayu walaupun keahliannya terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Bagi Bersatu, ia masih terikat dengan gaya UMNO yang hanya membenarkan Melayu menyertainya walaupun membuka sedikit ruang kepada kaum lain sebagai ahli bersekutu.

Ini menunjukkan kebanyakan orang Melayu tidak bermasalah menerima parti-parti yang dikuasai sepenuhnya oleh Melayu atau setidak-tidaknya menjadi kaum majoriti dalam wadah tersebut. Malah, mereka juga tiada hal dengan MCA, MIC dan parti-parti di Sabah dan Sarawak asalkan tidak melibatkan Melayu.

Yang menjadikan mereka tidak selesa, malah ada yang marah, adalah kewujudan DAP. Bagi mereka DAP adalah parti “Cina” kerana majoriti pemimpin dan ahlinya daripada kaum tersebut. Kerana itu mereka enggan menerima DAP untuk menduduki barisan hadapan politik negara kerana ia dianggap wadah kaum minoriti yang tidak boleh sebaris dengan kaum majoriti Melayu.

Pandangan ini biasa kita dengar di kalangan kebanyakan orang Melayu, sama ada yang berada di dalam UMNO atau segelintir daripada Pakatan Harapan. Namun ada sesuatu yang tidak kena di sebalik pandangan itu.

Banyak yang memandang DAP hanya dari sudut kaum semata-mata. Seolah-olah tidak wujud “rakyat Malaysia” dalam pemikiran mereka. Maksudnya masih ramai yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pemimpin dan ahli DAP adalah rakyat Malaysia. Sama ada ahli DAP itu adalah Melayu, Iban, Kadazandusun, Cina, India, Orang Asli, beliau adalah warganegara Malaysia, sama seperti mana-mana ahli parti politik lain.

Kerana itu, sebagai parti Malaysia, apabila DAP menyuarakan tentang hal-hal pentadbiran, politik, pendidikan dan sebagainya, ia merupakan perkara yang melibatkan kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, gender atau wilayah.

Ini bererti apabila ia menyatakan pendirian tentang hak wanita, hak Orang Asal, hak orang bukan-Islam, isu Negara Islam, hudud serta RUU355, semuanya ini melibatkan hal-hal duniawi demi keadilan, kesetaraan dan peluang saksama. Ia bukan campurtangan hal-hal aqidah dan kerohanian.

DAP bersama parti-parti politik lain serta NGO atau individu prihatin berhak bersuara tentang hal-hal pentadbiran agama (asalkan bukan soal aqidah) kerana ia mewakili hak semua rakyat Malaysia. Malah, sejak ditubuhkan lebih setengah abad yang lalu, DAP sentiasa mempunyai ahli dan pemimpin daripada kalangan Muslim.

Namun, bagi golongan yang benci DAP, mereka sering menggunakan momokan kaum. Setiap kali timbul isu, DAP dipersoalkan tentang betapa ia tidak mempunyai ramai pemimpin Melayu.

Inilah hegemoni yang telah lama meresap dalam jiwa rakyat, terutamanya orang Melayu yang disajikan politik kaum dan isu perkauman sejak berdekad-dekad lamanya. Pandangan sebegini lebih banyak menimbulkan keburukan kerana ia meletakkan segala-galanya pada kaum tanpa mempedulikan kelayakan, kemampuan, kesanggupan dan tanggungjawab.

DAP berpegang kepada prinsip sosial demokrasi – kebebasan, keadilan dan solidariti – untuk memastikan setiap rakyat mempunyai peluang saksama. Kaum, keturunan dan agama bukan ukuran utama tetapi ia sentiasa dihormati serta diraikan atas nama solidariti.

Sedangkan, apabila DAP diserang, ramai yang tidak nampak gajah BN di depan mata, iaitu UMNO yang menutup pintu kepada kaum bukan-Melayu (kecuali segelintir Bumiputera bukan-Muslim di Sabah). Begitu juga keadaannya di pihak Pakatan Harapan – jarang orang bertanya tentang sama ada PKR dan Amanah boleh atau perlu dipimpin oleh bukan-Melayu.

Persoalannya, mengapa hanya apabila ada ramai Melayu di dalam mana-mana pertubuhan, khususnya parti politik, maka ketika itu baru ia boleh diterima oleh kebanyakan orang Melayu? Adakah ini bererti kalangan Melayu lebih rela menerima kepimpinan serta pentadbiran yang “lembab, lemah dan korup asalkan dia Melayu” berbanding alternatif pelbagai kaum?

Mengapa apabila sesebuah parti politik itu majoriti pemimpin dan ahlinya terdiri daripada orang Melayu, ia tidak dilihat sebagai masalah? Mengapa jika berlaku sebaliknya, iaitu kempimpinan parti bukan daripada kalangan Melayu, ia dianggap sebagai masalah, dan dikutuk, diserang atau setidak-tidaknya dipandang serong?

Hal ini perlu menjadi renungan kita sebagai rakyat Malaysia. Sebagai pengundi, kita perlu menentukan sama ada masih selesa dengan politik kaum atau mahu sesuatu yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. – 24 November, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen