Semua projek pembangunan mewah yang lulus akan diteruskan, kata menteri


Yasmin Ramlan

Semua projek pembangunan mewah yang telah diluluskan akan diteruskan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar, Perumahan dan Kerajan Tempatan, Noh Omar. Gambar menunjukkan gerbang pintu sebuah perumahan mewah di Hulu Kelang, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 November, 2017.

SEMUA projek pembangunan mewah yang telah lulus akan diteruskan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar, Perumahan dan Kerajan Tempatan Noh Omar mengulas mengenai projek pembangunan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI ) dan Taman Desa.

Menurut Noh, arahan tersebut sudah pun dibincangkan bersama Perdana Menteri Najib Razak di dalam Kabinet.

“Yang pertama, rumah yang lebih RM1 juta kita minta diberhentikan dulu kerana daripada rekod yang kita dapat, banyak rumah yang lebih RM1 juta ini masih tak terjual dan begitu juga rumah yang mahal (macam) rumah strata. Yang ni pun antara banyak yang tak terjual.

“Jadi, hanya mana yang dah diluluskan, kita kata tak apalah kita boleh teruskan tapi projek-projek yang baru ni, tiga perkara ni, kena berhentikan dulu,” katanya di sidang media selepas perasmian majlis Mesyuarat jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan (JPPBT).

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada projek pembangunan di TTDI dan Taman Desa turut terlibat dalam penangguhan ke atas beberapa jenis pembangunan hartanah mewah di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Gabungan Lindungi Taman Desa pernah bangkit menentang pembangunan berlebihan yang mengancam kualiti kehidupan mereka. Untuk rekod, kedua-dua projek tersebut telah diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diserahkan kepada pemaju swasta. 

Selain itu, penduduk TTDI juga menentang projek yang boleh menyebabkan kesesakan di kawasan kejiranan mereka dan projek yang menarah satu-satunya kawasan hijau di kawasan mereka: Taman Rimba Kiara dan Bukit Kiara.

Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, perkara sama juga akan dilakukan terhadap pembinaan lain seperti pusat beli-belah dan ruang pejabat.

Ini kerana katanya, pihak kementeriannya mendapati bilangan premis tersebut adalah berlebihan dari permintaan.

“Yang kedua, kita berhentikan pembinaan shopping mall, banyak betul dibuat. Kita tengok shopping mall ini, bila ada shopping mall baru, shopping mall lama akan malap. Jadi dia tak ada daya tahan saing kita tengok, terutamanya di kawasan bandar banyak (pusat beli-belah).

“Yang ketiga, ruang pejabat, dengan konsep Soho (small office, home office), rumah pun dia (pemaju) buat, pejabat pun dia buat. Rumah pejabat ni pun masih ada oversupply. Jadi kita lihat kita kena berhentikan dulu sebab banyak kekosongan.

“Kita lihat bagaimana untuk kita stabilkan balik supaya supply and demand ini agar sama-sama supaya tak berlaku pembaziran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Putrajaya memberikan peruntukan lebih dari RM1 bilion kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui empat peruntukan, iaitu sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan persekutuan kepada PBT.

Empat peruntukan tersebut merupakan Program Pembangunan Projek BP 1 di kawasan PBT (RM332 juta), pemberian geran tahunan (RM302 juta), Sumbangan Membantu Kadar (SMK) (RM300 juta) dan peruntukan bayaran elektrik (RM135 juta).

“Kita harap kerjasama (dengan PBT) ini dapat dipertingkatkan lagi, terutamanya urusan-urusan dan projek-projek kerajaan seperti projek perumahan. Harap perkara-perkara seperti ini kita dapat kerjasama sepenuhnya daripada PBT,” katanya. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen