Makin ramai penduduk KL bantah pembangunan berlebihan


Gan Pei Ling

PESARA jurutera awam Frank Yeh dan penduduk lain dalam Gabungan Lindungi Taman Desa tidak pernah menjadi aktivis sepanjang hidup mereka.

Tetapi pelan untuk projek baharu di kawasan kediaman mereka di Taman Desa yang terletak di pinggir Kuala Lumpur – 13 pembangunan baharu, termasuk kondominium berkepadatan tinggi – mendorong keputusan mereka untuk bangkit.

“Ini sangat melampau. Jalan sudah sedia sesak adan tekanan air rendah. Ini bukan pembangunan yang mapan. Pihak berkuasa sepatutnya meningkatkan infrastruktur awam sebelum mereka luluskan lebih banyak projek pembangunan,” kata kepada The Malaysian Insight.

Gabungan itu menyokong saman difailkan 11 penduduk terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana meluluskan projek tiga blok kondominium, The Address di tanah rizab Tenaga Nasional Bhd.

Saman itu difailkan Mac lalu dan mahkamah akan mendengar permohonan pemaju pada 29 November.

“Kami tidak membantah pembangunan. Kami membantah pembangunan berlebihan. Infrastruktur sedia ada di Taman Desa tidak cukup untuk menampung projek baharu.

“Sejak 1977, hanya ada satu laluan bas di Taman Desa. Paip air utama sudah tua dan berkarat. Jalan sedia ada perlu ditar semula,” kata Yeh.

Jurucakap Gabungan Lindungi Taman Desa, Frank Yeh berkata pembangunan di Taman Desa sudah melampau. – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2017.

Katanya, kemudahan awam sedia ada seperti dewan komuniti kecil dan beberapa padang di kejiranan itu tidak cukup untuk menampung keperluan populasi sedia ada seramai 38,000 orang.

The Address – terdiri daripada 649 unit di tiga blok antara 34 hingga 42 tingkat – akan dibina di tapak yang sepatutnya untuk pembinaan utiliti, bukan untuk pembangunan. Tambahan lagi, menurut Pelan Rangka Bandar KL 2020, tapak itu dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan hijau.

Jika dibina, ia akan meningkatkan kepadatan daripada 60 orang per ekar kepada 650 orang per ekar.

Sejumlah besar lagi projek di jajaran untuk Taman Desa juga akan menambah lagi lebih 7,000 rumah mampu milik dan unit kondominium, 48 rumah kedai dan 168 ruang pejabat di kejiranan itu.

“Ini bukan saja masalah Taman Desa. Pembangunan berlebihan berlaku di sekeliling kita,” kata seorang lagi penduduk Taman Desa, M Gunasekar.

Beliau terkejut apabila mendapati kondominium setinggi 52 tingkat akan dibina di tanah seluas 1.3 ekar, yang sebelum ini ialah taman permainan di belakang rumahnya di Armada Villa, Danau Desa.

Gabungan itu akan mengadakan sidang akhbar meluahkan kebimbangan mereka mengenai projek itu hari ini.

“Selama ini saya cuba membantu menyelesaikan masalah orang lain. Sekarang saya mangsa. Saya tidak dapat lindungi kawasan belakang rumah saya sendiri,” kata ahli perniagaan itu yang membantu mengumpulkan hampir 1,000 penduduk untuk menghantar bantahan individu kepada DBKL terhadap projek The Address tahun lalu.

Tiada lagi syurga di kawasan pinggir bandar

Gabungan Lindungi Taman Desa bukan komuniti pertama di Lembah Klang yang bangkit menentang pembangunan berlebihan yang mengancam kualiti kehidupan mereka. Ketika pemaju mencari ruang baharu di kawasan sedia sesak untuk projek pembangunan lagi, penduduk juga bertindak melawan.

Penduduk di kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail juga menentang projek yang dibimbangkan akan menyebabkan kesesakan di kejiranan mereka dan menarah satu-satunya kawasan hijau di kawasan mereka: Taman Rimba Kiara dan Bukit Kiara.

Penduduk mengheret DBKL dan datuk bandar ke mahkamah tahun ini kerana meluluskan projek perumahan di Taman Rimba Kiara. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penduduk untuk mendapatkan semakan kehakiman pada Ogos 2017.

Pada 2015, penduduk Petaling Jaya menggagalkan pelan syarikat pelaburan Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan padang dan kompleks sukan miliknya di Kelana Jaya menjadi bandar sukan.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya dikritik hebat kerana menukar penggunaan tanah padang daripada rekreasi kepada komersial tanpa melalui projek sewajarnya pada 2011 dan akhirnya membatalkan permohonan pemaju pada 2015.

Pada 2011, penduduk Subang Jaya menewaskan permohonan Sime Darby Properties untuk membina kondominium 350 unit dan meluaskan lagi pusat perubatannya di kawasan seluas 7.7 hektar di Taman Subang Ria yang seluas 29.39 hektar.

Lembaga Rayuan Jabatan Perancang Bandar Selangor menolak permohonan Sime Darby untuk kebenaran merancang di kawasan itu di mana taman itu diwartakan untuk kegunaan riadah saja di dalam pelan rangka tempatan Subang Jaya.

Philip Phang, seorang pesara akauntan dan seorang lagi jurucakap Gabungan Lindungi Taman Desa, berkata DBKL sepatutnya berunding dengan penduduk sebelum meluluskan projek pembangunan akan datang dan mengubah tanah rekreasi kepada komersial.

Penduduk mengetahui mengenai projek pembangunan itu atas usaha penyelidikan mereka sendiri dan mendanai kempen untuk mengadakan himpunan dan memaklumkan penduduk lain.

“Ada atau tidak DBKL memikirkan kesejahteraan rakyat sebelum mereka luluskan projek itu? Proses pembangunan itu tidak telus.

“Hak penduduk terhadap kemudahan awam juga dirampas,” kata Phang.

Beliau menetap di situ sejak lebih empat dekad lalu dan menyaksikan Taman Desa berubah daripada kejiranan hijau dengan udara segar serta kabus pagi kepada kini kawasan penuh sesak dengan kondominium tinggi dibina dan kesesakan lalu lintas yang tiada kesudahan.

“Kami tahu peperangan ini akan berlanjutan. Kami menentang sebuah institusi (DBKL) dan secara tidak langsung terhadap pemaju, tetapi seseorang perlu melakukannya demi generasi akan datang,” kata Phang.

“Tidak ada yang selamat jika projek itu diteruskan. Anda mungkin fikir anda beli rumah sebelah dengan kawasan hijau tetapi 10 tahun kemudian, ia mungkin jadi kondominium.

“Kami mahu beri amaran kepada bakal pembeli untuk fikir dua kali,” kata Yeh.

Katanya, satu lagi kumpulan penduduk daripada Persatuan Penduduk Taman Desa turut menjalankan kempen terhadap projek pembangunan itu dengan kerjasama Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

“Kami buat keputusan tubuhkan kumpulan sendiri dan menjalankan kempen kerana kami mahu kekal bebas dan tidak berpihak mana-mana parti,” katanya. – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen