Di atas tak bergolak, hanya di bawah saja, kata pemimpin Umno, Bersatu Johor


Mohd Farhan Darwis

Ahli Umno dan Bersatu Johor diminta bertenang, tidak mencari salah dan cuba meredakan keadaan, ketika ada desas-desus politik negeri bergolak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2020.

PEMIMPIN Umno dan Bersatu Johor meminta ahli parti masing-masing bertenang, tidak mencari salah antara satu sama lain dan cuba meredakan keadaan, ketika ada desas-desus politik negeri bergolak yang dikhuatiri boleh membawa kepada pilihan raya lebih awal.

Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang berkata krisis politik antara dua parti dalam Perikatan Nasional itu hanya “permainan orang di bawah”, sedangkan pemimpin di atas elok bekerjasama.

Katanya, beliau sendiri tiada sebarang masalah bekerjasama dengan Menteri Besar Hasni Mohammad, yang juga ketua Umno Johor.

“Saya sebagai ketua parti negeri kena bersikap matang. Saya dengan Hasni berusaha mencari titik persamaan. Memang dari dahulu kalau gabungan politik, ada berlaku perasaan tak puas hati, sana sikit, sini sikit… biasalah.

“Yang penting ada persamaan yang kita boleh terima. Itu yang penting,” kata Mazlan, kepada The Malaysian Insight.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa itu menambah beliau terbuka untuk meredakan ketegangan yang timbul.

“Kita ketua negeri tiada masalah pun. Mereka di bawah saja (bertelagah)... saya dengan Hasni (sebagai ketua parti di negeri) tiada masalah. Kita akan cuba redakan keadaan.

“Saya tiada masalah, kita boleh berbincang. Saya minta jangan keruhkan keadaan,” kata Mazlan.

Keadaan politik di Johor dikatakan tegang selepas Bersatu negeri dilapor meminta jawatan dalam syarikat milik negeri diagih sebagai tanda persefahaman dalam Perikatan Nasional (PN).

PN membentuk kerajaan di Johor selepas Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), serta PAS.

Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang berkata krisis politik antara dua parti dalam Perikatan Nasional hanya permainan orang di bawah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2020.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Samsol Bari Jamali berkata soal politik tidak seharus berbangkit ketika semua pihak sedang bergelut menangani wabak Covid-19.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight ketegangan politik yang menjadi percakapan orang sebenarnya tidak berlaku.

“Bagi kita sekarang ini mana-mana pihak yang pertikaikan pihak lain dan cerita politik, mereka sebenarnya lebih pentingkan diri daripada rakyat. Sesetengah orang nak cari perhatian.

“Saya tak nak buat kenyataan. Apa saja kenyataan seolah-olah mengiyakan benda yang tidak berlaku, memanaskan situasi yang tidak berlaku,” katanya.

Beliau juga meminta agar jangan ada mana-mana mengasak presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, khuatir beliau akan mengambil langkah luar jangka.

“Agak-agak kalau Muhyiddin bubar Parlimen siapa yang untung?

“Kuasa (bubar) di bawah perdana menteri… asyik nak dikacau, digeletek saja. Kita memang nak pastikan air tidak berkocak,” kata Adun Semarang itu.

Beliau juga mengingatkan pimpinan politik di Johor supaya akur dengan kenyataan Muhyiddin bahawa sekarang bukan masa untuk berpolitik, sebaliknya berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat melawan wabak Covid-19.

“Yang penting bagi saya bagaimana rakyat melihat dan merasai, apatah lagi kerajaan pusat dan negeri sedang diduga krisis Covid-19.

“Kita sedang diduga, semuanya ada hikmahnya. Kerajaan semuda ini diduga ujian sebesar ini, sejauh mana kerajaan dapat tanganinya.

“Semua pihak kena berlaku adil. Jangan kita ‘perform’ tapi kata tak ‘perform’, kita kena lebih tumpukan kepada perkhidmatan kepada rakyat,” kata Samsol Bari.

Ketegangan antara Bersatu dan Umno di Johor mula timbul apabila setiausaha Bersatu negeri Mohd Solihan Badri menggesa parti-parti yang membentuk kerajaan negeri tidak memandang ringan 11 wakil Bersatu yang ada di Dewan Undangan Negeri.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin dalam reaksi balas berkata walaupun kenyataan Solihan ada kebenarannya, namun pembentukan PN di Johor tidak pernah dirancang.

Bekas menteri besar Johor itu berkata selagi jumlah kerusi menjadi mainan, kedua-dua parti akan kerugian.

“Mengukuhkan PN dengan ‘political rewards’ (habuan politik) melalui pelantikan dalam GLC dan pelbagai lagi, bukanlah jalannya,” kata Khaled.

PN menguasai 29 daripada 56 kerusi di DUN Johor. BN mempunyai 16 kerusi, dengan Umno 14 dan MIC 2, sementara Bersatu 11 dan PAS 2. Seorang wakil rakyat bebas menyokong PN.

PH pula mempunyai 27 kerusi dengan DAP 14, Amanah 9, dan PKR 4. – 30 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen