Pendapatan kerajaan sudah menjunam


Zainal Rashid Ahmad

EKONOMI Malaysia kehilangan pendapatan RM2.4 bilion sehari apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu. Sekiranya genap empat fasa PKP dilaksanakan selama 56 hari sehingga 12 Mei nanti, negara kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya RM139.2 bilion.

Angka kehilangan RM2.4 bilion sehari disebut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika diwawancara khas oleh RTM dan Astro Awani 24 April lalu.

Angka itu tidak mengambil kira kesan kemerosotan lebih awal sejak 1 Januari apabila impak Covid-19 mula melanda dunia.

Secara lateral, Malaysia sudah menanggung kesan ekonomi apabila Wuhan dilanda Covid-19 pada penghujung Disember tahun lalu.

Sejak 10 tahun lepas, China menjadi rakan dagangan nombor satu Malaysia. Menduduki tempat pertama dalam import dan destinasi kedua terbesar bagi eksport negara.

Sekadar rekod, perdagangan dua hala Malaysia dan China mencapai RM443 bilion pada 2018. Meningkat 13% berbanding RM392 bilion pada 2017.

Selain bisnes dua hala dengan China, paling teruk terkesan ialah industri pelancongan. Sasaran meraih pendapatan RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia kini musnah sama sekali.

Apabila industri pelancongan terkesan teruk, sektor penerbangan bergegas menawarkan pakej pemotongan gaji dan cuti tanpa gaji kepada pekerja seawal Februari.

Lebih 40 ribu pekerja industri penerbangan sudah terjejas sejak sebelum PKP. Pilihan seterusnya selepas ini ialah pembuangan pekerja.

Sektor penerbangan

Secara logik, industri penerbangan tidak mampu bertahan berikutan kelumpuhan operasi selama dua bulan sejak PKP. Di peringkat global, destinasi utama masih mengekalkan sekatan penerbangan.

Sebenarnya, sektor penerbangan sudah mengalami kejatuhan tempahan sejak Januari. Sekiranya ‘lockdown’ global berlaku hingga Mei, syarikat penerbangan akan hilang ketahanan aliran tunai.

Syarikat penerbangan negara MAB dijangka paling teruk terjejas. MAB memiliki 15 ribu pekerja dan sudah bergelut dengan krisis kewangan sejak penubuhannya pada 2015 menggantikan MAS.

Pada 22 April, syarikat penerbangan nombor satu dunia, Qatar Airways mengumumkan pemotongan gaji pegawai menengah dan atasan selama tiga bulan.

Sebagai syarikat penerbangan terbesar di dunia dan sudah dua dekad meraih untung, Qatar Airways turut terpaksa mengambil langkah drastik.

Tindakan Qatar Airways satu tanda syarikat terbesar pun tiada daya ketahanan aliran tunai bagi mendepani kemelesetan ekonomi.

Pada awal April, syarikat Cathay Pasific Hong Kong mengumumkan kejatuhan 99% tempahan penerbangan harian.

Apa nasib 400 ribu pekerja hotel?

Sektor perhotelan elit dengan 150 ribu pekerja di lebih 900 hotel jenama utama, antara sektor domino yang turut mengalami impak kemelesetan.

Amat sukar bagi sektor perhotelan bertahan ketika industri pelancongan terjejas teruk. Malah, tempahan perhotelan sudah menjunam sejak Januari.

Hingga kini, tiada tanda-tanda pandemik Covid-19 akan pulih di peringkat global bagi tempoh terdekat.

Industri pelancongan akan kekal ‘bergelap’ untuk tempoh tiga ke enam bulan lagi. Di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh, beberapa rangkaian hotel ternama sudah mengumumkan penutupan.

Selain 900 hotel utama, lebih 250 ribu pekerja di 26 ribu hotel murah turut terkesan. Sasaran 80% pekerja sektor ini telah dan akan berdepan kehilangan pekerjaan.

Presiden MyBHA Emmy Suraya Hussein berkata, pengusaha hotel murah kini terpaksa menanggung kos operasi hotel serta membayar gaji walaupun perniagaan terhenti.

“Ada ahli kami terpaksa menghentikan perniagaan sementara menunggu keadaan kembali pulih, sekali gus menyebabkan pekerja hilang pekerjaan dan pendapatan,” katanya.

Kesan ekonomi akibat Covid-19 sangat besar. Unjuran awal KDNK negara ketika pembentangan Bajet 2020 menyasarkan pertumbuhan 4.5%.

Pada Januari lalu, Bank Negara mengeluarkan unjuran baru dengan paras 3.3%. Tetapi, pada April, unjuran diturunkan menjadi negatif 3%.

China sudah mengumumkan pertumbuhan negatif 6.8% bagi suku pertama tahun ini. Angka negatif yang sama akan dialami seluruh dunia.

Malah, pertumbuhan ekonomi dunia boleh mencapai negatif 3% pada suku pertama tahun ini.

Selain putusnya rantaian perniagaan akibat Covid-19, dunia juga berdepan kejatuhan 60-66% harga minyak mentah.

Dengan tiga bulan pertama tahun ini dipenuhi kemelut, tidak mustahil Malaysia akan mengumumkan pertumbuhan sukuan pertama pada negatif 2%.

Ini unjuran wajar memandangkan rantaian ekonomi kita sudah melemah sejak Januari. Negatif 2% adalah yang terburuk sejak 1998.

Sekiranya PKP diteruskan pada fasa kelima hingga 26 Mei, suku kedua KDNK negara bakal mencatatkan pertumbuhan negatif melebihi 3%.

Kemelesetan global perangkap terbesar

Angka pertumbuhan negatif suku pertama sudah diramal berdasarkan tindakan ‘lockdown’ hampir di semua negara kuasa ekonomi Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Ertinya, seluruh dunia dan Malaysia sudah berada dalam fasa pertama kemelesetan ekonomi yang dijangka berlarutan antara 12 hingga 18 bulan.

Kesan ekonomi terhadap kewangan kerajaan mula dibincangkan secara serius.

Pada 24 April, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengadakan forum: “Pelan Pemulihan Selepas Covid-19: Peranan Majlis Tindakan Ekonomi”.

Forum ini dianjurkan secara dalam talian. Satu usaha kumpulan pemikir dan ahli ekonomi yang prihatin dengan realiti kewangan kerajaan.

Ketika ditanya mengenai usaha kerajaan mendapatkan sumber kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed menolak idea penjualan aset kerajaan.

“Jika kerajaan menjualnya sekarang, ia akan menjadi jualan murah. Saya tidak pasti jika ini ialah perkara baik untuk dilakukan,” katanya.

Mustapa berkata, ketika ekonomi merudum, kerajaan tidak akan mendapat harga baik untuk apa saja aset yang dijual.

Selain menolak penjualan harta, Mustapa juga membayangkan perubahan kebiasaan baharu dalam perniagaan kesan PKP.

Mustapa menjangkakan, lebih banyak konsep pejabat maya akan dipraktikkan berbanding penyewaan ruang pejabat fizikal.

Sekaligus membayangkan permintaan hartanah bagi kegunaan ruang pejabat akan terus menjunam.

Peralihan ke pejabat maya bagi mengurangkan kos perniagaan akan menjerumuskan lagi pasaran hartanah yang sedia menjunam sejak 2013.

Analisis MIER masih diabaikan

Pada 25 Mac lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan 2.4 juta pekerja akan kehilangan kerja akibat kemelesetan ekonomi.

67% pekerja kemahiran rendah paling terdedah untuk kehilangan kerja. Terutama di sektor Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Sekiranya kajian dijalankan sekarang, ada kemungkinan 30% sudah pun ditamatkan kerja berikutan tiada operasi dan permintaan produk sepanjang PKP.

MIER juga menjangkakan, pendapatan isi rumah akan jatuh 12% (RM95 bilion) sekaligus mengurangkan 11% perbelanjaan pengguna.

Keadaan ekonomi negara diburukan lagi dengan krisis harga minyak global.

Pada masa ini harga minyak merudum ke paras AS$20 ke AS$22 setong. Ertinya dari unjuran AS$62 setong ketika belanjawan 2020 dirancang, Malaysia hari ini kehilangan sekitar AS$40 setong.

Merujuk kenyataan Mustapa pada Februari lalu, tiap kejatuhan AS$1 bagi setiap setong minyak mentah, negara kehilangan RM300 juta.

Ertinya sekarang, dengan purata kejatuhan mencecah margin AS$40, Malaysia kehilangan RM12 bilion.

Sejak merdeka, inilah kali pertama Malaysia terseret ke krisis ekonomi global berskala besar begini.

Walaupun pakar menjangkakan, ekonomi global kembali pulih dalam 12 hingga 18 bulan, ia masih satu tempoh yang panjang.

Malah, pemulihan selepas 18 bulan tidak akan mengembalikan pertumbuhan ekonomi global ke paras 3% hingga 4% seperti sebelum krisis Covid-19.

Nasib PKS dan 66% pekerja Malaysia

Lebih 70% syarikat dalam PKS hanya memiliki upaya tunai hingga hujung April ini. PKS menyediakan 66% pekerjaan dan menyumbang hampir 40% KDNK negara.

Angka ini wajar diutamakan dan kerajaan harus serius melihat keadaan PKS.

Dalam senario 2.4 juta pekerja dijangka hilang pendapatan, PKS dijangka menyumbangkan lebih 80% guna tenaga yang ditamatkan kerja.

Menepati jangkaan MIER, pembuangan pekerja membabitkan kumpulan yang berkemahiran terhad. Malah, majoriti ialah kumpulan B40 dengan purata gaji RM2 ribu sebulan.

Tanpa tabungan dan kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu akan mencetuskan konflik kepada kepada 10 juta isi rumah yang bergantung pendapatan pada 2.4 juta pekerja ini.

Apakah kita fikir – ini takdir mereka, dan terimalah saja?

Kadar inflasi, menurut MIER akan berada pada tahap 4%. Bayangkan kepahitan hidup pekerja yang kehilangan pendapatan, dipotong gaji, diarah cuti tanpa gaji untuk berdepan kos sara hidup akibat inflasi?

Kebiasaan baharu Malaysia setelah PKP berakhir, bukan setakat mentaliti penjarakan sosial dan mengekalkan kehidupan bersih.

Ia juga merangkumi soal akal budi dan hati nurani. Terutama sikap murni rakyat Malaysia untuk saling bersama. Memahami detik sukar ekonomi negara dan saling berkesanggupan berkongsi kesusahan.

Saya petik kenyataan Yuval Noah Hariri, profesor sejarah di Universiti Hebrew di Baitulmaqdis untuk sekadar renungan:

“I think the biggest danger is not the virus itself. Humanity has all the scientific knowledge and technological tools to overcome the virus.

The really big problem is our own inner demons, our own hatred, greed and ignorance. I’m afraid that people are reacting to this crisis not with global solidarity, but with hatred, blaming other countries, blaming ethnic and religious minorities.

But I hope that we will be able to develop our compassion, and not our hatred, to react with global solidarity, which will develop our generosity to help people in need.

And that we develop our ability to discern the truth and not believe all these conspiracy theories. If we do that, I have no doubt that we can easily overcome this crisis.”

Banyak yang boleh direnungkan. Ada kala pemikir Yahudi boleh mengajar kita menjadi manusia lebih baik.

Manusia boleh menjadi makhluk yang menakutkan akibat ketamakan apabila menjadi lebih susah. Manusia dan haiwan ada kalanya hanya dibezakan pakaian. – 29 April, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen