Hotel mula gulung tikar di Pulau Pinang, Ipoh


The Gurney Resort Hotel and Residences di Pulau Pinang merupakan antara yang mengecilkan operasi hotelnya akibat kesan daripada pandemik Covid-19.– Gambar Facebook, 27 April, 2020.

PLENITUDE Bhd sedang menutup operasi tiga hotelnya iaitu Mercure Penang Beach, The Gurney Resort Hotel and Residences, kedua-duanya di Pulau Pinang dan Travelodge Ipoh, Perak dengan serta-merta, di samping mengecilkan operasi di hotel yang lain, lapor Bernama.

Keputusan ini adalah hasil langsung daripada pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan yang teruk kepada perniagaan hospitaliti syarikat, kata Plenitude dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Disebabkan sekatan perjalanan domestik dan seluruh dunia, hotel-hotel syarikat telah mengalami penurunan ketara dalam perniagaan, yang mana, syarikat tidak mempunyai alternatif tetapi terpaksa menurunkan saiz perniagaan dan operasi.

“Pengurusan syarikat sedang memantau teliti keadaan dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu bagi memastikan keselamatan para tetamu dan kakitangan,” katanya.

Laporan itu menyusul penutupan dua buah hotel lain di Ipoh baru-baru ini.

The Star kelmarin melaporkan Kinta Riverfront Hotel and Suites akan tutup pada hujung bulan ini.

Dalam satu pekeliling dalaman bertarikh 22 April kepada kakitangan, pihak pengurusan memberitahu hotel itu ditutup pada 30 April ini, selepas lapan tahun beroperasi.

Jurucakap syarikat Tan Kim Hee berkata hotel itu tidak lagi mampu menampung kerugian sejak berbulan-bulan.

Awal bulan ini, Tower Regency Hotel di Ipoh juga dilaporkan akan tutup pada 30 April. – 27 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen