Inspektor polis disiasat rogol wanita Mongolia naik mahkamah esok


Kalidevi Mogan Kumarappa

PEGAWAI polis berpangkat inspektor yang disyaki merogol dua wanita warga Mongolia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang esok, atas kesalahan bersabit jenayah anti pemerdagangan orang dan anti penyeludupan migran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek akan didakwa mengikut Seksyen 13 (f) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom).

Kertas siasatan bagi kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) bagaimanapun masih menunggu arahan lanjut daripada pendakwa raya, tambahnya.

“Suspek akan didakwa di mahkamah di Klang, esok mengikut Atipsom.

“Kertas siasatan mengikut Seksyen 376 KK pula masih berada pada Pendakwa Raya, kita masih menunggu arahan dan tindakan susulan daripada pihak berkenaan,” katanya kepada The Malaysian Insight, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed, sebelum ini dilapor berkata polis menjalankan dua siasatan berhubung kes itu.

Siasatan pertama merujuk kepada kes rogol dan siasatan kedua, sama ada wanita terbabit menjadi mangsa kepada aktiviti pemerdangan manusia dan penyeludupan migran.

Pada 11 April lalu, polis menyelamatkan dua wanita Mongolia yang berusia 20 dan 37 tahun, yang dikurung di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Sebelum ini, suspek berusia 30 tahun yang ditahan ketika bertugas dalam satu sekatan jalan raya direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan kerana disyaki merogol.

Awal hari ini, tiga wanita Mongolia, yang ditahan selepas membuat aduan mendakwa seorang pegawai polis merogol dua wanita lain, dibebaskan, kata peguam mereka.

Mereka dibebaskan daripada perintah perlindungan sementara selepas peguam dari firma Peguambela dan Peguamcara Thomas Philip memfailkan permohonan untuk menyemak perintah tersebut. – 28 April, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen