3 wanita Mongolia saksi tuduhan polis merogol dibebas


Tiga wanita Mongolia yang membuat aduan mendakwa seorang pegawai polis merogol dua wanita lain dibebaskan hari ini.– Gambar The Malaysian Insight ole Hasnoor Hussain, 28 April, 2020

TIGA wanita Mongolia, yang ditahan selepas membuat aduan mendakwa seorang pegawai polis merogol dua wanita lain, dibebaskan hari ini, kata peguam mereka.

Mereka dibebaskan daripada perintah perlindungan sementara selepas peguam dari firma Peguambela dan Peguamcara Thomas Philip memfailkan permohonan untuk menyemak perintah tersebut.

Perintah itu dikeluarkan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Peguam mereka berhujah tiada bukti untuk menunjukkan mereka terlibat dalam kegiatan yang dilarang di bawah akta berkenaan.

Mereka ditahan di bawah perintah itu pada 14 April lalu selepas membantu dua rakan senegara yang mendakwa ditahan oleh polis di sekatan jalan raya perintah kawalan pergerakan (PKP) dan dibawa ke hotel sebelum dirogol.

Dalam satu kenyatan hari ini, Thomas Philip berterima kasih kepada media atas liputan meluas serta sokongan badan masyarakat sehingga membawa kepada pembebasan tiga wanita itu.

“Semakan perintah yang sepatutnya didengar esok sudah jadi akademik,” katanya firma guaman itu.

Kenyataan itu juga menyebut penahanan tiga wanita itu menjejaskan hak asasi mereka.

Pegawai polis yang dituduh merogol dua wanita Mongolia itu minggu lalu dibebaskan dengan jaminan dan digantung tugas.

Kertas siasatan terhadapnya sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Thomas Philip berkata ia menunggu perkembangan seterusnya sama ada suspek akan dituduh di mahkamah.

Firma itu juga sudah memfailkan saman sivil ke atas suspek untuk pelbagai ganti rugi. Saman sama juga dikemukakan ke atas pemilik hotel tempat kejadian didakwa berlaku di Petaling Jaya.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 27 Mei. – 28 April, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen