PKP atau tidak, umat Islam siap sedia sambut Ramadan


Diyana Ibrahim Aminah Farid

Tiada solat terawih di masjid dan surau pada Ramadan kali ini, tetapi umat Islam percaya ada hikmah di sebalik PKP dan akan guna peluang yang ada untuk mengisi Ramadan dengan ibadat dan mendekatkan diri pada Allah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April , 2020.

UMAT Islam akan menyambut bulan suci Ramadan yang akan bermula pada Jumaat ini, dalam suasana yang amat berbeza daripada kebiasaannya.

Lazimnya, kemeriahan bazar makanan, masjid penuh sesak dengan jemaah dan pusat beli-belah dan jalan-jalan raya dihiasi dekorasi indah, menjadi latar belakang sambutan bulan mulia ini.

Tetapi, meskipun pandemik Covid-19 menghentikan segala kemeriahan itu, umat Islam yang ditemubual The Malaysian Insight berkata semangat mereka tetap berkobar untuk menanti ketibaan Ramadan.

Mereka berkata penguakuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan memberikan mereka lebih masa untuk beribadat dan menunaikan solat, masa bersama keluarga dan ruang untuk muhasabah diri.

“Mungkin ini caranya Allah mahu hambanya dekat padanya,” kata suri rumah Zaiton Abu Bakar.

“Sebelum ini, ketika Ramadan, kita terlalu sibuk dengan kehidupan hinggakan kita tidak berbuka di rumah.

“Suami saya tidak pernah berpeluang berbuka puasa di rumah setiap hari dengan keluarga, dan ada harinya anak-anak saya berbuka di luar.”

Zaiton berkata PKP akan memberikan peluang kepada keluarga berbuka bersama dan solat berjemaah lima waktu.

“Ada baik dan buruknya dalam situasi ini. Mungkin buruknya ialah jika ada ahli keluarga yang sakit, kita tidak dapat lawat mereka,” katanya.

Siti Marliza, 46, dari Selangor berkata PKP sepanjang Ramadan akan memberikan peluang kepadanya untuk beribadat kepada Allah.

“Ia akan beri kita lebih banyak masa untuk muhasabah diri dan peluang beribadat, mendekatkan diri kepada Tuhan kerana kita akan berpuasa sebulan di rumah,” katanya.

Tiada program berbuka puasa beramai-ramai tahun ini, dengan adanya penguatkuasaan PKP. Bazar Ramadan tidak dibenarkan bagi tahun ini di seluruh negara bagi mengelak penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

Marliza berkata persiapan serba sederhana kali ini dalam menyambut Ramadan tetapi semuanya mencukupi untuk mengalu-alukan bulan puasa yang penuh berkat.

“Namun, dengan keadaan pandemik sekarang, kami tidak dapat solat terawih berjemaah dan berbuka puasa dengan kawan dan keluarga ketika Ramadan, ia agak mengecewakan, dan agak pelik untuk kami,” katanya.

Suri rumah Hasnah Rahmat berkata walaupun dia berharap PKP berakhir sebelum Ramadan supaya umat Islam dapat meraikan Aidilfitri, tetapi dia merasakan amat penting untuk bertimbang rasa dalam keadaan sekarang.

“Kami harap PKP akan berakhir supaya kami dapat berpuasa dan sambut Aidilfitri seperti biasa. Namun, kami faham dan terima jika keadaan ini diteruskan, kerana kita tidak boleh bersifat pentingkan diri.

“Memang rasa lain kali ini, tidak ada bazar, tidak ada solat terawih di masjid atau surau.

“Daripada sudut positif, ia masa yang terbaik untuk dihabiskan bersama keluarga.

“Mungkin ada ahli keluarga tidak ada sebelum ini kerana kerja atau belajar, tetapi sekarang semua anak ada di rumah. Kita kena solat terawih di rumah, tetapi itu ok,” kata Hasnah.

Namun, ada juga umat Islam yang sedih dengan tiadanya solat terawih di masjid dan surau serta bazar tetapi merasakan tentu ada hikmahnya semua ini berlaku.

Bagi Rozaidi Zulkifli, 30, dari Kodiang, Kedah Ramadan kali ini amat berbeza daripada sebelum ini.

“Amat berbeza tahun ini kerana kami tidak dapat berbuka puasa atau solat terawih di masjid tahun ini.

“Masjid, sama seperti bazar juga dianggap tempat meriah ketika Ramadan, jadi agak menyedihkan bila tidak ada tahun ini. Tetapi saya pasti, ada hikmah di balik semua ini.

“Sebagai orang Islam, kami percaya pada perancangan Allah,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengumumkan semua bazar Ramadan dibatalkan tahun ini, termasuk jenis pandu lalu, tetapi perkhidmatan e-hailing dibenarkan di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, PKP yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Di bawah PKP, semua perkumpulan umum dilarang.

Wabak itu setakat ini melaporkan 5,482 kes jangkitan dan 92 kematian di seluruh negara. – 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen