Tak bekerja sepanjang PKP, pelarian berdepan risiko usir dari rumah


Aminah Farid

Pelarian antara kumpulan paling teruk terjejas kerana PKP yang dikuatkuasa untuk mengekang Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2020.

PELARIAN antara golongan yang terdedah kepada pengusiran dari kediaman mereka sepanjang perintah kawalan pergerakan kerana tidak mampu membayar sewa disebabkan hilang sumber pendapatan dan kerja, kata satu kajian.

Kajian Refugee Coalition of Malaysia (RCOM) mendedahkan terdapat lebih 75% pelarian yang berkata mereka tidak mampu membayar sewa bulan April.

Kajian juga mendapati 40% daripada mereka sudah berdepan ancaman diusir oleh tuan rumah masing-masing.

Kajian RCOM melibatkan lebih 400 orang responden yang terdiri daripada pelarian pelbagai warganegara.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951, walaupun Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) terlibat dalam pengurusan pelarian di negara ini.

Disebabkan itu, pelarian secara rasminya dianggap pendatang asing tanpa izin yang menunggu penempatan semula ke negara ketiga dan tidak dibenarkan mendapat pendidikan rasmi atau pekerjaan.

Lukes, seorang pelarian dari Pakistan berkata, setakat ini beliau berjaya menyakinkan tuan rumahnya supaya tidak mengusirnya dari rumah disewanya, tetapi jika PKP berterusan, beliau dan keluarganya terpaksa berpindah.

“Kami sudah memohon dan berjaya menyakinkan tuan rumah yang sebaik sahaja PKP berakhir kami akan sambung kerja dan selesaikan hutang kami, tetapi jika PKP dilanjutkan lagi, kami tak boleh kawal lagi situasi (yakinkan tuan rumah),” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Susah sungguh untuk kami, pelarian, kerana kami tidak ada kerja sepenuh masa yang sesuai.

“Kami kais pagi makan pagi buat kerja seperti cuci pinggan, juruelektrik, pelayan restoran, pencuci dan beberapa kerja lain yang perlukan pekerja tambahan untuk sementara waktu.

“Dan dengan upah yang kami dapat, hanya boleh teruskan hidup tanpa ada simpanan,” katanya yang berusia 43 tahun itu.

Lukes mendapat upah sekitar RM60 sehingga RM70 sehari bergantung kepada jenis kerja, pekerjaan terakhirnya sebelum PKP adalah menjahit.

Beliau tinggal di rumah tiga bilik di Jalan Ipoh, di mana beliau menyewa sebuah bilik untuk tinggal bersama isteri dan tiga anaknya dengan sewa RM650 sebulan, dua bilik lagi disewa dua buah keluarga lain. – 20 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen