PKP lebih ketat adalah dasar terbaik


KERAJAAN telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 April 2020. Langkah terbaru ini merupakan fasa ketiga sejak PKP bermula pada 18 Mac 2020. 

Ia dilaksanakan bagi menangani dan mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 yang dijangka kian merebak dan memudaratkan kesihatan umum jika tindakan tegas tidak diambil. 

Kita sudah kehilangan tiga hari pertama apabila kadar pematuhan kurang memuaskan: 60% (hari pertama); 70% (hari kedua); dan 80% (hari ketiga). Jika kerjasama secara 100% tidak diperolehi, maka bersiap-sedialah untuk duduk di rumah untuk tempoh yang agak lama, bukan di tempat peranginan tetapi di rumah. 

Justeru, pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula pada 15 April mesti dipatuhi semua sebagai menghargai usaha kerajaan untuk memastikan keberkesanan dalam menghentikan penyebaran dan penularan wabak Covid-19 ini lebih baik daripada dua fasa yang sebelumnya.

Pelaksanaan PKP berdasarkan nasihat pakar. Kemungkinan ada sesetengah pihak yang mempunyai pandangan tersendiri tentang keberkesanan dan tujuan PKP dari segi pelaksanaannya.

Namun, kita bukan pakar yang sebenar. Sekalipun kita seorang pakar, sebagai contoh,  seorang doktor perubatan yang cukup berpengetahuan dalam bidang penyakit berjangkit, pandangan “individu” tidak sama dengan pemikiran secara konsensus atau kolektif. Kebijaksanaan dapat dicipta dengan jumlah yang ramai.

Memang tidak dinafikan bahawa pendekatan ini boleh dianggap sebagai “pemikiran berkumpulan” (groupthink). Tetapi itu adalah isu yang lain. Kita sedang berbincang mengenai isu kesihatan umum dan oleh itu, kerajaan tidak mampu untuk mengambil risiko dengan membiarkan keadaan seperti biasa.

Malah, Britain pada suatu ketika pernah mempertimbangkan strategi imuniti kelompok (herd immunity) yang merujuk kepada imuniti awam. Ia pernah disarankan sebagai satu strategi kerana ketiadaan vaksin. 

Pada masa yang sama, penguncian kota sama ada mencontohi model Wuhan yang ekstrem atau model unik PKP kita sendiri, pasti akan menjejas ekonomi kita dengan segala akibatnya. 

Akan tetapi, jikalau Covid-19 dibiarkan berleluasa dan tersebar di kalangan orang ramai sebagai satu strategi, maka ini hanya akan membawa kepada akibat yang terlalu menyedihkan. 

Dan perlu ditegaskan masih terdapat segelintir yang melanggar PKP. Ini menunjukkan ada keperluan untuk mengingatkan lagi sebab utama kenapa PKP dilaksanakan.

Sebabnya mudah, yakni untuk meratakan lengkungan. Dalam erti kata lain, untuk memastikan kadar jangkitan (dan seterusnya, kadar maut) menurun, bukannya meningkat.

Tidak dapat dinafikan PKP memberi kesan negatif kepada kehidupan harian dan perniagaan. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan majoriti besar perniagaan yang paling terjejas yang mengakibatkan kesan buruk kepada banyak sektor dan seluruh ekonomi.

Banyak PKS sudah mengalami aliran tunai yang terhad. Cabaran ini merupakan masalah utama yang berterusan. Penutupan kilang dan kedai, dan menangguhkan operasi buat sementara waktu bermaksud masalah aliran tunai menjadi semakin ketara.

Kehilangan pendapatan bermaksud beberapa PKS mungkin perlu memilih di antara mengekalkan pekerja atau memberhentikan mereka.

Pilihan yang pertama mungkin memaksa PKS untuk mengenakan potongan gaji, atau jika tidak, terpaksa menutup sepenuhnya perniagaan mereka kerana tidak dapat bertahan. Pemotongan gaji akan membolehkan PKS terus bertahan tetapi kos sara hidup pekerjanya akan terjejas.

Walaupun begitu, dalam mencapai keseimbangan antara kesihatan awam dan ekonomi, kerajaan harus membuat keputusan yang tegas tetapi terbaik berdasarkan keadaan semasa.  Dan memanjangkan tempoh PKP merupakan langkah terbaik buat masa sekarang – kerana jika perniagaan dijalankan seperti biasa, ia akan membahayakan dan menjejaskan kesihatan awam dengan akibat berikut:

  • Kadar jangkitan lebih tinggi

  • Membebankan perkhidmatan kesihatan awam dan swasta

  • Angka kematian yang jauh lebih tinggi

Ini akan menghasilkan impak yang lebih dahsyat terhadap ekonomi kita yang sudahpun terjejas dengan pelbagai kegawatan sebelum wabak dan krisis Covid-19 ini muncul. 

Dalam keadaan tersebut, ekonomi kita akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Kerajaan harus dipuji kerana bertindak wajar dalam memanjangkan tempoh PKP untuk dua minggu lagi dan menghadkan waktu di mana orang ramai boleh keluar rumah untuk urusan penting dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

Tanpa PKP dilanjutkan dengan kegiatan awam dibataskan, usaha untuk mengekang wabak ini dengan memutuskan rantai penularan saja tidak akan mencukupi.

Lanjutan ini juga memberi masa bagi kerajaan menjejak dan mengesan serta melakukan saringan sambil memastikan bahawa perkhidmatan kesihatan tidak dibebani dengan krisis Covid-19.

Buat masa ini, marilah kita semua memainkan peranan masing-masing dan mematuhi (duduk di rumah), mematuhi (pergi seorang diri untuk membeli makanan dan barang keperluan) dan mematuhi (mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam). – 19 April, 2020.

* Jason Loh Seong Wei adalah ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen