Pembangkang perlu hormati keputusan Parlimen, kata Azalina


Diyana Ibrahim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata keputusan undi belah bahagi di Parlimen semalam membuktikan sistem demokrasi di Parlimen terus subur dan perkara tersebut tidak patut dipolitikkan mana-mana pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2017.

SELEPAS menang tipis dengan kelebihan satu undi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said membidas pembangkang kerana didakwa tidak dapat menerima kekalahan.

Ia susulan cubaan undian belah bahagi ketika penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 bagi peringkat jawatankuasa semalam di Parlimen.

Beliau berkata keputusan undi belah bahagian ini juga yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan hanya kelebihan satu undi membuktikan sistem demokrasi di Parlimen terus subur dan perkara tersebut tidak patut dipolitikkan mana-mana pihak.

“Pembangkang dilihat seperti tidak boleh menerima keputusan tersebut apabila menimbulkan kekecohan dalam Parlimen walaupun timbalan speaker Parlimen memutuskan keputusan tersebut

“Anggota Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses ini dijalankan mengikut prosedur yang dibenar di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri itu dikatakan antara tiga ahli Parlimen BN yang lewat hadir dalam Dewan selain Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi, dan Ismail Sabri Yaakob Bera seperti didakwa oleh Ahli Parlimen DAP Gobind Singh Deo.

Semalam undi belah bahagi diminta Ahli Parlimen Kapar G Manivanan selepas RUU dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Hamzah Zainuddin.

Undian belah bahagi itu mencetuskan kekecohan apabila pembangkang mendakwa berlakunya penyalahgunaan Peraturan Mesyuarat kerana membenarkan ahli Parlimen yang lewat memasuki Dewan Rakyat untuk mengundi.

Bagaimanapun RUU tersebut diluluskan dengan undian 52 ahli Parlimen menyokong, 51 menentang manakala dua lagi berkecuali.

Dua ahli Parlimen yang berkecuali ialah Idris Ahmad (Bukit Gantang) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

Ini bukan kali pertama BN menang tipis undi belah bahagi ketika perbahasan bajet, mengulangi apa yang berlaku semasa perbahasan Bajet 2010.

Ketika itu, BN berjaya mengatasi pembangkang hanya dengan kelebihan tiga undi (66-63) bagi membolehkan Bajet 2010 diluluskan. – 21 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pesanan ini dibawakan khas oleh minah lesbian

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan