Kerajaan perlu telus walau ketika PKP, kata Ambiga


The Malaysian Insight

Aktivis peguam Ambiga Sreenevasan menggesa kerajaan Perikatan Nasional agar lebih telus mengenai aliran dana 1MDB yang diperoleh daripada Amerika Syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2020.

KERAJAAN perlu maklumkan kepada rakyat ke mana dana AS$300 juta (RM1.3 bilion) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan, kata aktivis peguam Ambiga Sreenevasan.

Ambiga memberitahu The Malaysian Insight ini perlu untuk meredakan kebimbangan kumpulan masyarakat sivil yang khuatir wang itu dikembalikan kepada kerajaan terdiri daripada Umno dan juga PAS yang tidak mengakui sebarang salah laku berkaitan skandal 1MDB.

Menurut Ambiga, beliau difahamkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan dana akaun amanah dan pengaturan amanah bagi wang yang diperoleh daripada dana 1MDB yang diserahkan pada Februari namun ditangguhkan untuk menunggu dana selebihnya.

“Penting untuk pengaturan ini didedahkan kepada rakyat dan mereka diberi jaminan wang itu akan diuruskan sebaiknya mengikut akaun amanah itu,” katanya.

“Sekiranya maklumat saya tidak tepat itu sebabnya mengapa kita perlu dimaklumkan apa yang berlaku kepada wang berkenaan.”

Ambiga, yang dalam beberapa tweet semalam membidas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana tidak memberikan kredit kepada kerajaan PH atas pengembalian wang AS$300 juta dari Amerika Syarikat (AS), dan menyuarakan kebimbangan.

PH masih kerajaan pada Februari selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei, 2018.

Namun gabungan PH bagaimanapun tumbang pada 24 Februari apabila Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada PH yang diterajui perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac selepas kemelut politik yang berakhir dengan partinya Bersatu, bergabung dengan Umno, parti Islam PAS, sekumpulan ahli Parlimen PKR dan GPS Sarawak untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).

Pengkritik PN ketika itu menggelar gabungan berkenaan kerajaan pintu belakang selepas menumbangkan PH.

Selepas pengembalian AS$300 juta itu disahkan semalam, Muhyiddin berterima kasih kepada kerajaan AS, terutamanya kedutaannya di Kuala Lumpur, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Peguam Negara Idrus Harun.

Jumlah itu adalah daripada penyitaan, perampasan dan likuidasi aset yang berkaitan dengan syarikat pelaburan negara itu.

“Saya kecewa PN mendapat kredit daripada kerja yang dilakukan PH. PN akan lebih dihormati jika mereka berikan pujian kepada pihak yang sepatutnya,” kata Ambiga.

“Saya pasti, PN juga ada usaha, namun yang jelasnya usaha itu lebih banyak dilakukan kerajaan PH.

“Ia bukanlah penting namun bagi PN yang cuba mendapatkan penerimaan rakyat, dan dengan cara mereka mendapat kuasa, sangat penting untuk mereka menyatakan fakta dengan jujur dan adil dan berikan pujian kepada pihak sepatutnya.

“Kami tidak mahu sampai memeriksa semua yang mereka katakan.” – 17 April, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen