573 orang di Masjid India jalani saringan Covid-19, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan memakai PPE sebelum ujian saringan dijalankan. Seramai 573 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 di sekitar Masjid India ahri ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020.

SERAMAI 573 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Masjid India di tengah Kuala Lumpur, yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

“Keputusan akan diperolehi dalam tempoh 24 jam. Kita baru sahaja jalankan pengesanan kes aktif di kawasan tersebut,” kata ketua pengarah kesihatan dalam sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Ismail Sabri berkata PKPD di seluruh kawasan Masjid India bermula hari ini sehingga 28 April.

Perintah sama ke atas tiga bangunan kediaman tinggi di kawasan itu sebelum ini, iaitu Menara City One, Selangor Mansion, dan Malaya Mansion, juga dilanjutkan untuk dua minggu lagi, kata Ismail.

Dr Noor Hisham juga berkata saringan kes aktif akan dilakukan di semua kawasan PKPD melibatkan semua penghuni di situ.

Tambahnya, fasa pertama dan kedua PKP berjaya mengekalkan jangkitan di bawah 5,000 kes, walaupun menurut ramalan ia boleh mencecah 6,300 kes hari ini.

Sebelum ini, bank pelaburan AS, JP Morgan dalam kajiannya meramalkan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia akan mencecah 6,300 kes pada pertengahan April. – 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen