SELURUH kawasan di sekitar Masjid India kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob, menjadikannya kawasan yang kelima dikawal ketat untuk membendung penularan pandemik Covid-19.
Perintah lebih ketat di kawasan di tengah Kuala Lumpur itu bermula hari ini sehingga 28 April, katanya.
Perintah sama ke atas tiga bangunan kediaman tinggi di kawasan itu sebelum ini, iaitu Menara City One, Selangor Mansion, dan Malaya Mansion, juga dilanjutkan untuk dua minggu lagi, tambahnya.
“PKPD ini melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.
“Semua penghuni kawasan yang terbabit diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini, memaklumkan perkembangan pelaksanaan PKP.
Jelas beliau, perintah itu dikeluarkan atas nasihat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
PKPD ke atas kondominium Menara City One bermula pada 1 April, melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan, manakala di Selangor Mansion dan Malaya Mansion bermula pada 7 April, melibatkan antara 5,000 hingga 6,000 penduduk, kebanyakannya warga asing.
PKPD dikenakan ke atas kawasan itu selepas Kementerian Kesihatan mengesan trend kes positif Covid-19 yang ketara dalam kalangan penduduk di tiga bangunan kediaman itu.
PKPD, yang mengenakan kawalan ketat larangan masuk dan keluar, membolehkan petugas kesihatan membuat saringan dari pintu ke pintu mengesan jangkitan baharu.
Sementara itu, Ismail berkata PKP ke atas tujuh kampung antara Batu 21 dan Batu 23, Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor berakhir malam tadi, kecuali bagi sebuah sekolah tahfiz dan sebuah rumah.
PKPD ke atas Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar dilanjutkan sehingga 28 April, katanya.
PKPD di kawasan itu bermula pada 30 Mac lalu.
Sementara itu, pelaksanaan PKPD ke atas dua kawasan di Simpang Renggam di Kluang, Johor dilanjutkan sehingga 28 April susulan ada penambahan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduknya.
PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid bermula pada 27 Mac dan sepatutnya berakhir pada 9 April, namun dilanjutkan sehingga hari ini sebelum disambung untuk dua minggu lagi. – 14 April, 2020.
Komen