Potong rambut untuk kawal darah tinggi, kata penyokong Azmin


Pegawai Azmin Ali, Afif Bahardin berkata perkhidmatan menggunting rambut perlu dibuka kerana membolehkan orang ramai mengawal darah tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

SEORANG penyokong Azmin Ali tampil mempertahankan keputusan menteri kanan tersebut untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut dibuka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.

Penyokong tersebut Afif Bahardin yang juga seorang doktor perubatan antara lain mendakwa, perkhidmatan itu antara lain perlu dibuka untuk membolehkan orang ramai mengawal darah tinggi.

Bekas exco kerajaan Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan berangkai di Twitter mendakwa, kaitan menggunting rambut dan sakit darah tinggi itu disokong oleh kajian perubatan.

“Perkhidmatan gunting rambut mempunyai asas dari sudut kajian perubatan yang dilaksanakan oleh The New England Journal of Medicine menjelaskan bahawa perkhidmatan ini mampu mengurangkan tekanan darah tinggi; antara salah satu tekanan yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini,” katanya.

Tambahnya, langkah itu untuk membantu pengusaha gunting rambut yang terjejas dengan PKP kerana perusahaan itu juga dibenarkan dibuka kerana menggunakan jumlah tenaga yang sedikit.

Menurutnya, ia perlu beroperasi dengan garis panduan jagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat untuk mengekang penularan wabak dan pada masa sama menjamin kelangsungan ekonomi.

“Pengusaha kedai gunting rambut dan pelanggan mestilah bebas daripada segala simptom seperti demam dan batuk.

“Kedai juga perlu memastikan kerja-kerja disinfeksi dijalankan dan mengutamakan aspek kebersihan pada tahap tertinggi.

“Langkah penjarakkan sosial juga perlu diterapkan dengan amalan perlindungan diri seperti kerap mencuci tangan dan memakai topeng muka juga perlu dilakukan disamping kerap mencuci alatan-alatan yang digunakan,” katanya.

Saranan tersebut bagaimanapun tidak meyakinkan ramai pengguna media sosial yang mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk mengelak penularan Covid-19 di kedai gunting rambut.

Pengguna media sosial itu antara lain meminta kementerian mendengar saranan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang menolak rancangan tersebut.

Mereka turut mempersoalkan kajian yang mendakwa menggunting rambut dapat mengawal stres.

Pengguna itu antara lain membangkitkan bahawa kajian itu jelas menggariskan gunting rambut menurunkan darah tinggi apabila pesakit turut diberikan ubat sewajarnya.

Ada juga yang tidak yakin penjarakan fizikal dapat dikawal di premis gunting rambut.

“Siapa nak pantau? Nak kerah polis dan tentera duduk depan barber shop? Merepek,” kata pengguna Twitter @farhanzulkefly.

Kecaman serupa disuarakan penasihat DAP Lim Kit Siang yang mengingatkan Azmin bahawa rancangan berkenaan malah dibantah golongan yang didakwa akan menerima keuntungannya.

Ahli Parlimen Tanjung Puteri itu merujuk kepada kenyataan persatuan penggunting dan pendandan rambut semalam yang menolak kebenaran untuk mereka beroperasi sewaktu PKP tahap tiga.

Lim seterusnya mempersoalkan sekiranya Azmin dan para menteri Kabinet mempunyai hasrat peribadi dalam membenarkan pengusaha berkenaan beroperasi.

“Adakah ini sebab sesetengah menteri mahu mengunjungi kedai gunting dan salun rambut?

Lim berkata, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada sektor sokongan dan khidmat IT sewaktu  PKP disebabkan permintaan yang tinggi. 

Dua negeri sudahpun melarang kedai gunting beroperasi walau dibenarkan untuk berbuat demikian dalam tempoh PKP peringkat ketiga, dari 14 hingga 28 April.

Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengeluarkan arahan itu sementara menunggu garis panduan baharu dari Kementerian Kesihatan bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

Azmin pada Jumaat mengumumkan kebenaran untuk kedai gunting rambut beroperasi dengan syarat mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan.

Beliau juga mengumumkan kebenaran sektor automotif, aeroangkasa, pembinaan, kesihatan tradisional berdaftar dan juga khidmat dobi menyambung semula operasi.

Kesemua perusahaan itu juga diwajibkan mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada kementeriannya.

Seorang lagi menteri kanan Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan kerajaan dan kementerian terlibat akan menyemak semula keputusan membenarkan kedai gunting beroperasi.

Afif pula, dalam satu kenyataan lanjut di Twitter hari ini memaklumkan beliau bukanlah pegawai Azmin dan hanya menulis sebagai seorang Adun Seberang Jaya.

Semakan setakat jam 1pm hari ini menunjukkan nama beliau masih disenaraikan sebagai pegawai tugas khas di pejabat menteri kanan MITI di laman web rasmi kementerian tersebut. – 12 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Wahai Dr Afif Bahardin yang mengatakan Pengusaha kedai gunting rambut dan pelanggan mestilah bebas daripada segala simptom seperti demam dan batuk":
    Selaku seorang doktor perubatan, tidak kah kamu tahu bahawa orang-orang yang bebas daripada segala simptom seperti demam dan batuk, juga boleh merupakan pembawa virus Kovid-19 dan boleh menjangkiti orang lain????
    Apakah kamu tidak faham "Kajian Perubatan" yang kamu rojok itu kerana dalam Bahasa Inggeris, iaitu "Sustainability of Blood Pressure Reduction in Black Barbershops", atau sengaja hendak mengelirukan orang ramai kerana hendak sokong pembukaan kedai gunting rambut walaupun ia suatu keputusan bodoh memandangkan ia adalah suatu aktiviti "very high risk" ?
    Dengan ringkas, kajian "Sustainability of Blood Pressure Reduction in Black Barbershops" adalah seperti berikut:

    Background:
    We developed a new model of hypertension care for non-Hispanic black men that links health promotion by barbers to medication management by American Society of Hypertensioncertified pharmacists and demonstrated efficacy in a 6-month cluster-randomized trial.
    Conclusions:
    Among black male barbershop patrons with uncontrolled hypertension, health promotion by barbers resulted in large and sustained BP reduction over 12 months when coupled with medication management by American Society of Hypertensioncertified pharmacists. Broad-scale implementation research is both justified and warranted.

    Maka jangan membuta tuli memberi sokongan kepada sesuatu keputusan politik yang tidak waras. Ia menjatuhkan imej profession Kedoktoran Perubatan.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan

  • dia nak cuba jadi hero rakyat, dia yg buka sempadan bagi pelancong china sebagai PUNCA utama virus masuk ramai2, masa tu korang buat apa ?

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Alan One · Ulasan