Doktor hadapi masalah bekalan PPE


Doktor di Hospital Kuala Lumpur memakai PPE lengkap sebelum merawat pesakit Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2020.

SEORANG doktor di Kelantan, yang baru-baru ini ditugaskan di wad pengasingan di sebuah hospital swasta, mendapat tahu pakaian pelindung diri (PPE) yang akan digunakannya tidak lengkap.

“Jadi, saya cuba cari bahagian yang tidak ada di bilik bedah dan jabatan lain.

“Saya terpaksa ambil masa dekat sejam untuk cari. Walaupun tak mengancam nyawa, tapi tetap membuang masa. Dan itu hanya untuk jumpa seorang pesakit,” kata doktor yag mahu namanya dirahsiakan kepada The Malaysian Insight.

Apa yang dialami oleh beliau mencetus persoalan mengenai jaminan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa bekalan PPE mencukupi untuk kegunaan hospital dan klinik.

Ini kerana para doktor di barisan hadapan berkata sebaliknya.

Doktor-doktor yang ditemui oleh The Malaysian Insight berkata mereka tidak pasti bila KKM akan menghantar stok baharu PPE.

PPE yang ada ketika ini “dikongsi” kakitangan yang bertugas di ward, unit rawatan rapi (ICU), wad kes yang disyaki, petugas barisan hadapan di kawasan saringan berskala besar, jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E), paramedik perkhidmatan ambulans dan juga tukang cuci.

“Di A&E, kami merawat pesakit baharu, dengan gejala atau tidak, yang mungkin atau tidak dijangkiti Covid-19. Dan kami tidak akan tahu melainkan kami jalankan pemeriksa penuh,” kata seorang doktor di jabatan A&E di sebuah hospital terkemuka di Sabah.

“Petugas ambulans juga perlu memakai PPE kerana kita tak tahu pesakit ada Covid-19 atau tidak.

“Saya tak tahu kalau memang betul-betul tak cukup PPE, atau sebab apa. Tetapi saya agak ia kerana cepat habis,” katanya.

Semua doktor yang ditemui mahu nama mereka dirahsiakan kerana protokol perkhidmatan awam tidak membenarkan mereka bercakap dengan media.

Petugas barisan hadapan sedang melakukan saringan Covid-19 secara pandu lalu di sebuah hospital di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2020.

Sebanyak mana perlindungan yang perlu?

Seorang doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) berkata kakitangan mengikut arahan pegawai atasan yang membuat keputusan berapa banyak PPE yang perlu digunakan.

Ada kala ini membawa kepada perbezaan pendapat mengenai setakat mana perlindungan diperlukan oleh petugas barisan hadapan.

“Satu jabatan kata guna selapis sarung tangan sudah memadai. Satu lagi jabatan kata dua lapis lagi baik. Saya dapat tahu di Hospital Queen Elizabeth di Sabah mereka guna tiga lapis.

“Kena seimbang antara melindungi petugas kesihatan dan ‘menjimatkan’ bekalan PPE,” kata doktor itu.

Doktor di jabatan A&E di Sabah itu berkata dasar hospital ialah setiap kakitangan hanya diberi sekeping topeng muka tiga lapis untuk satu shift yang memakan masa 10 jam bagi doktor dan 12 jam bagi jururawat.

“Walaupun sekeping topeng muka dapat bertahan antara lapan hingga 12 jam, tetapi lebih lama dipakai, ia jadi lebih kotor,” jelasnya.

Tambahnya, apa yang sepatutnya ialah PPE yang sudah dipakai dibuang terus dan memakai yang baharu bagi setiap seorang pesakit.

“Tetapi realitinya, kami hanya tukar apron plastik dan sarung tangan setiap kali rawat pesakit.”

Doktor di hospital Kelantan berkata petugas di sana menggunakan semula perisai muka dan gogal, tetapi membuang bahagian PPE lain seperti baju yang menyerap cecair.

Di hospital beliau bertugas juga mengehadkan penggunaan topeng N95, piawaian yang ditetapkan ketika mengendalikan kes Covid-19 atau kes yang disyaki.

“Di jabatan saya, hospital agihkan banyak (topeng N95) dan kami diminta berjimat supaya dapat bertahan untuk beberapa hari.

“Secara purata topeng N95 bertahan sampai enam jam. Tapi kami pakai sepanjang shift. Kalau saya kena kerja dua shift, terpaksa pakai untuk 24 jam.”

Ada hospital menetapkan setiap kakitangan hanya diberi sekeping topeng muka tiga lapis untuk satu shift yang memakan masa 10 jam bagi doktor dan 12 jam bagi jururawat, kata seorang doktor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2020.

Buat sendiri

Doktor keempat yang ditemui, yang mengendalikan pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Sabah, berkata kekurangan bahagian PPE tertentu juga berlaku di tempat beliau bertugas.

Ada ketika PPE yang sampai tidak lengkap kerana pembekal bahagian tertentu alat perlindungan diri itu tidak dapat memenuhi permintaan.

“Mana-mana bahagian yang tak ada kami buat sendiri. Contohnya, guna plastik sampah sebagai sarung but. Ada jabatan di hospital ini hasilkan sendiri penutup kepala, sarung but dan pelindung  muka,” katanya, sambil menambah ward Covid-19 di hospital beliau bertugas memerlukan 100 set PPE sehari.

Menurut doktor itu, awal minggu ini pihak hospital menghantar bahan membuat sarung but ke penjara dan kumpulan aktivis untuk dijahit.

“Sementara tunggu siap, kami guna plastik sampah atau apron plastik sebagai pelindung sementara,” katanya.

Beliau berkata sejak sebulan yang lalu hospital mula membuat sendiri pelindung muka untuk mengatasi masalah bekalan. Buat masa ini, mereka juga menggunakan tudung sebagai sarung kepala.

“Siapa sahaja yang berkelapangan, kebanyakannya pembantu perubatan, jururawat dan juruteknik, mereka ini yang akan jahit,” katanya. – 11 April, 2020.

Berita penuh di sini.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen