Ibu bapa, guru bergelut cabaran kelas online sepanjang PKP


Aminah Farid Bernard Saw

Perintah kawalan pergerakan bagi menyekat penularan Covid-19 menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran murid terpaksa beralih kepada secara atas talian, dan proses ini memberi cabaran kepada ibu bapa dan guru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 7 April, 2020.

IBU bapa dan guru yang terkurung di rumah antara yang paling tertekan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana mereka terpaksa bergelut dengan pembelajaran online sementara menyelesaikan pelbagai tanggungjawab lain.

Bagi mereka di kawasan yang sambungan Internet teruk atau mempunyai peralatan komputer yang terhad, rasa putus asa itu berganda, ditambah lagi dengan menguruskan jadual kerja dari rumah masing-masing.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada Jumaat lalu mengeluarkan garis panduan untuk membantu ibu bapa dan guru menguruskan pengajaran secara atas talian, menamakannya Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di bawah PKP.

Tetapi, bagi ibu bapa dan guru, apabila mereka cuba melaksanakan pengajaran itu, banyak pula gangguan yang tidak dijangka berlaku.

Kami tidak boleh gantikan guru

Ibu empat anak, Nur Melina memberitahu The Malaysian Insight anaknya kurang fokus di rumah berbanding di sekolah, kerana suasana rumah selesa dan biasa untuk mereka.

“Mereka cenderung untuk fikir mereka sedang cuti, masa untuk main. Kanak-kanak ada pendekatan berbeza bila mereka bersama guru dan bila mereka dengan ibu bapa.

“Mereka tahu kerana jadi baik bila dengan guru, tapi jadi lebih relaks dan perangai kurang dijaga bila bersama ibu bapa,” katany.

Anak-anak Melina diberikan kerja rumah menerusi platform atas talian Dojo, tetapi beliau merasakan itu tidak cukup. Beliau turut membenarkan anak menonton video YouTube berkenaan subjek tertentu dan kemudian bertanyakan soalan kepada mereka.

Beliau juga terpaksa menyiapkan tugasan sebagai pengurus projek dan memikirkan cara kreatif untuk membantu anak-anak meneruskan pembelajaran.

Steven Chiew, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun berkata pembelajarannya kurang akademik dan lebih kepada berasaskan bermain.

“Nasib baik, tadika mengadakan kelas online untuk sukatan pelajaran. Dan sebelum PKP bermula, sekolah menyerahkan semua buku teks untuk dibawa pulang.

“Jadi selain kelas online, kami kebanyakan masa hanya bermain, baca buku cerita dan menari.”

Chiew berkata pembelajaran yang diberikan itu cukup untuk anaknya memandangkan dia baru di peringkat tadika.

“Tapi ibu bapa tidak boleh gantikan guru. Ibu bapa bukannya guru. Jadi saya harap keadaan akan jadi lebih baik tidak lama lagi dan anak boleh kembali ke sekolah,” katanya.

Menjadi guru di rumah adalah sesuatu yang baru untuk Khaled Emada, seorang bapa dua anak yang merasaka beliau tidak mampu mengajar anaknya seperti mana guru mereka lakukan.

“Saya dan isteri bukannya guru terlatih, tidak kira berapa banyak atau betapa berkualitinya bahan yang kami sediakan, kami tidak boleh buat kerja guru.”

Teknologi terhad

Satu lagi masalah dihadapi Khaled dan isteri ialah perkakasan telefon dan tablet yang terhad. Keluarga itu hanya mempunyai sebuah komputer riba di rumah.

“Saya kerja dari rumah 9 pagi hingga 6.30 petang, jadi kebanyakan masa, anak lelaki saya akan guna telefon bimbit isteri untuk buat kerja rumahnya.”

Lee, seorang guru tadika yang juga seorang ibu, berkata kekurangan peralatan menambah masalah ibu bapa yang juga bertugas sebagai guru dan perlu merekodkan video untuk pembelajaran online sementara anak sendiri juga memerlukan akses kepada telefon pintar atau tablet untuk pelajaran mereka.

Beliau juga rasa tertekan terpaksa menguruskan tugas sebagai guru, mengendalikan kerja sekolah anak sendiri, memasak dan menyelesaikan kerja rumah tangga.

Media sosial menjadi tempat guru yang juga ibu bapa melepaskan rasa kecewa mereka.

Seorang guru yang juga ibu kepada tiga anak, Meng Chia menulis di Facebook: “Saya hanya ada satu telefon bimbit dan komputer saya rosak. Saya tidak boleh baikinya hingga PKP berakhir. Saya betul-betul tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan pembelajaran online untuk tiga anak.”

Seorang lagi guru, Yazmin Chan menulis: “Sebagai ibu, saya hanya ada satu komputer dan satu telefon bimbit. Pada masa sama, saya juga seorang guru. Bagaimana saya hendak mengajar secara atas talian?”

Mary, seorang lagi guru menulis di Facebook: “Adakah kerja di rumah masih perlu dibuat? Bukankah kita juga perlu rehat? Jangan ingat pasangan akan tolong anak dengan kerja rumah, jadi anda boleh  fokus beri tumpuan pada mengajar secara online.”

Menerusi posting itu, Mary berkata beliau bimbang pengajaran secara atas talian akan menyebabkan sesetengah murid merosot kerana terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

“Saya fikir pengajaran online tidak semestinya memberikan setiap murid peluang untuk belajar secara online,” katanya. – 7 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen