PRU14 mungkin sebelum Julai, kata Rosmah


Nabihah Hamid

Saya tak tahu, tapi saya rasa mestilah sebelum Julai, kata Rosmah Mansor pada Majlis Tahunan Bersama Skuad Sayang, di PWTC hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 November, 2017.

ISTERI perdana menteri, Rosmah Mansur mengatakan beliau tidak tahu bilakah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tetapi tidak menolak kemungkinan ia diadakan sebelum Julai tahun depan.

“Saya tak tahu, tapi saya rasa mestilah sebelum Julai.

“Jadi Majlis Tertinggi (Umno) selalu bincang. Tiap-tiap bulan bermesyuarat bila PRU 14 akan diadakan,” katanya pada Majlis Tahunan Bersama Skuad Sayang, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurutnya lagi, Najib pernah bertanyakan pendapat beliau masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, soalan yang diketepikannya kerana menurutnya, beliau bukanlah seseorang yang arif dalam bidang politik.

“Saya nampak muka-muka (Wanita Umno) sudah bersedia menghadapi pilihan raya. Jangan tanya saya bila sebab saya tidak tahu.

“Saya rasa Yang Amat Berhormat (Najib) pun tak tahu. Lepas itu dia tanya saya, when you think we should have (pilihan raya). Saya kata i don’t knowlah, i don’t know politik,” kata Rosmah.

Sebelum itu, Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil berkata Wanita Umno sentiasa berada di belakang Najib dan Rosmah.

Wanita Umno juga katanya sudah bersedia menjadi tulang belakang untuk memastikan kemenangan BN pada PRU14.

“Sokongan Wanita, tidak pernah luntur. Pada masa sama kita bukan hanya sokong PM (Najib Razak) tetapi sokongan pada Rosmah pun konsisten dari dulu kini selamanya.

“Semua wanita politik mesti menggalas tugas. Kita khidmat untuk rakyat bukan bermusim dan sentiasa konsisten.

“Dan ini akan bawa kepada kemenangan BN dan kita akan jadi tulang belakang kepada kemenangan BN,” kata Shahrizat lagi.

PRU14 perlu diadakan sebelum 24 Ogos 2018, The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan yang BN meramalkan menang 128 kerusi dan terus mempertahankan kuasanya. – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen