Rakyat Malaysia dari luar negara dikuarantin 14 hari, kata Ismail Sabri


Mohd Farhan Darwis

Semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara bermula Jumaat ini akan menjalani kuarantin 14 hari di tempat ditetapkan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

SEMUA rakyat Malaysia yang balik dari luar negara mulai Jumaat ini akan diasingkan selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Langkah itu bertujuan mengelakkan penularan wabak Covid-19 gelombang baharu yang mungkin dibawa oleh rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air, katanya.

Jelas beliau, langkah pengasingan itu diperkenalkan di bawah perintah kawalan pergerakan yang masuk fasa kedua, selepas dilanjutkan sehingga 14 April ini.

“Untuk kita sekat penyebaran Covid-19 melalui rakyat yang pulang ke negara kita, setiap rakyat kita yang pulang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari tempat-tempat yang dipastikan kerajaan

“Sesampai sahaja (di tanah air) mereka akan dibawa dengan menaiki bas ke pusat kuarantin,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini, untuk memaklumkan perkembangan perintah kawalan pergerakan.

Dalam tempoh pengasingan itu, mereka akan disaring untuk dipastikan tahap kesihatan selain melalui beberapa prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tambahnya.

Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak menjemput ahli keluarga mereka di lapangan terbang.

“Saya nasihatkan keluarga supaya tak perlu ke lapangan terbang untuk sambut ahli keluarga, kerana mereka akan di bawa ke pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan. 

“Bagaimanapun di zaman moden ini ibu bapa dan keluarga boleh hubungi mereka walaupun terpisah 14 hari di tempat kuarantin,” katanya.

The Malaysian Insight semalam melaporkan hampir 200 lagi premis termasuk hotel, masjid dan institusi pendidikan diisytiharkan sebagai pusat kuarantin di seluruh negara, menjadikan keseluruhan premis yang digazetkan setakat 27 Mac lalu berjumlah 647 buah.

Perintah kawalan pergerakan yang bermula pada 18 Mac lalu sepatutnya berakhir hari ini tetapi dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi. – 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen