Lebih banyak premis diwarta stesen kuarantin Covid-19


Zaim Ibrahim

Proses sanitasi di kawasan-kawasan kritikal wabak Covid-19 giat dijalankan sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan mewartakan lebih banyak premis sebagai pusat kuarantin yang kini berjumlah 657 buah, berdasarkan warta setakat Jumaat lalu.

Pusat kuarantin itu kini meliputi hospital kerajaan, institut pendidikan awam, sekolah, hotel, dan masjid, menurut warta di laman Pejabat Peguam Negara.

Warta pertama mengenai stesen kuarantin diterbitkan 16 Mac, dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Warta yang diperbuat mengikut Seksyen 2 Akta 342 itu menyenaraikan 56 premis, kebanyakannya hospital kerajaan termasuk hospital besar setiap negeri dan wilayah persekutuan.

Mengikut akta tersebut, stesen kuarantin itu bagi penahanan, pengasingan dan pemerhatian di sesuatu stesen bagi orang yang menghidap atau disyaki menghidap sesuatu penyakit berjangkit.

Warta kedua pada 21 Mac pula menyenaraikan 409 premis kerajaan sebagai stesen kuarantin, meliputi pelbagai akademi, institut, kolej, dan juga stadium tertutup.

Antara premis awam itu Institut Sosial Malaysia di Kuala Lumpur, menempatkan 132 pelajar dari sekolah tahfiz Madrasah Miftahun Ulum dari Masjid Seri Petaling.

Masjid tersebut merupakan kawasan wabak jangkitan dari kluster perhimpunan jemaah tabligh yang menjangkiti sehingga lima generasi pesakit.

Warta ketiga seterusnya pada 26 Mac menyenaraikan 40 lagi premis, meliputi masjid daerah, kolej, pangsapuri awam, dewan, kolej swasta dan juga hotel swasta.

Antara disenaraikan dalam warta itu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang yang diubahsuai sebagai hospital sementara bagi menerima 600 pesakit tanpa simptom atau simptom sederhana.

Turut tersenarai, sebuah sekolah agama di Terengganu, Madrasatul Quran Kubang Bujuk yang pernah disinggahi peserta jemaah tabligh Mashjid Sri Petaling yang positif Covid-19.

Seramai 87 penghuni madrasah itu dilaporkan dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) bagi jangkitan Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu.

Warta keempat pula pada 27 Mac menyenarai 152 premis, kebanyakannya hospital awam dan turut menyertakan Istana Negara.

Istana tersebut tersenarai selepas Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong dikuarantin selepas tujuh kakitangan istana didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam menyatakan sebanyak 5,292 katil disediakan seluruh negara – 3,400 di hospital dan 1,892 di pusat latihan sebagai persediaan menerima peningkatan jumlah pesakit.

Setakat semalam, seramai 2,320 didapati positif Covid-19 di Malaysia dan 27 daripadanya terkorban.

Seramai 1,973 sedang dirawat dan 73 daripadanya sedang menjalani rawatan di unit rawatan rapi.

320 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Perintah Kawalan Pergerakan kini berkuatuasa sejak 18 Mac sehingga 14 April untuk memutuskan rantaian jangkitan. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen