Tunggu MKN putuskan isu bazar Ramadan, kata KM Pulau Pinang


Zaim Ibrahim

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan sama ada bazar Ramadan dapat diadakan pada bulan hadapan di Pulau Pinang bergantung kepada arahan MKN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

KEPUTUSAN sama ada bazar Ramadan dapat diadakan pada bulan hadapan di Pulau Pinang bergantung kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Katanya, setakat ini kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang belum mengeluarkan lesen perniagaan itu pada bulan puasa kelak.

“Kedua-dua pihak berkuasa tempatan sehinggi kini masih belum mengeluarkan sebarang lesen bazar Ramadan.

“Keputusan tertakhluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara,” kata beliau dalam satu sidang media di Komtar yang disiarkan secara lansung di Facebook.

Beberapa negeri sudahpun mengumumkan melarang operasi bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Operasi bazar Ramadan itu sepatutnya bermula sewaktu bulan puasa yang dijangka bermula akhir April.

Negeri Sembilan dan Melaka sudah memutuskan tidak akan memberi kebenaran untuk bazar Ramadan beroperasi pada bulan puasa ini.

Bagaimanapun di Negeri Sembilan, mereka yang hendak berniaga boleh berbuat demikian dari rumah tetapi terhad untuk penghantaran atau bungkus bawa pulang.

Di Kelantan, bazar Ramadan juga mungin tidak dibenarkan beroperasi jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, kata Menteri Besarnya Ahmad Yakob.

Di Johor, Persatuan Pergerakan Pengguna Johor tampil mendesak pihak berkuasa negeri itu melarang penganjuran bazar Ramadan.

Operasi bazar Ramadan itu dibimbangi akan menyebabkan perhimpunan ramai individu dan mendedahkan risiko jangkitkan Covid-19.

Setakat hari ini, terdapat 2470 kes positif Covid 19, 2047 kes sedang dirawat dan 73 daripadanya menjalani rawatan di unit rawatan rapi.

35 pesakit meninggal dunia akibat wabak itu manakala 388 telah pulih. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen