Pakej rangsang ekonomi Putrajaya berani, kata ahli ekonomi


Sheridan Mahavera Ragananthini Vethasalam

Selain syarikat, Putrajaya juga mengumumkan pakej bantuan yang berani untuk rakyat bagi menggalakkan perbelanjaan dalam negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2020.

PAKEJ rangsangan ekonomi kedua diumum Putrajaya cukup berani untuk menampung kesan wabak Covid-19 kepada ekonomi negara dan pada masa sama ia tidak banyak menjejaskan simpanan kerajaan, kata ahli ekonomi.

Pakej itu akan membantu kebanyakan syarikat yang terpaksa mengecilkan operasi untuk mengekalkan aliran tunai dan pekerja bagi berdepan kelembapan ekonomi yang akan berlaku.

Isi rumah bergaji rendah dan sederhana serta pekerja gaji harian pula akan mendapat bantuan tunai yang sangat diperlukan bagi membantu mereka sepanjang perintah kawalan pergerakan yang kini dilanjutkan.

Pemberian wang tunai dan penangguhan bayaran sewa perumahan awam juga akan membantu isi rumah rendah dan sederhana untuk berbelanja sekaligus merangsang kepenggunaan yang akan membantu ekonomi negara.

“Pakej rangsangan ekonomi kedua berani kerana kerajaan bertindak pantas memberikan bantuan kewangan yang sangat diperlukan isi rumah dan perniagaan,” kata ahli ekonomi Lee Heng Guie.

“Ia akan membantu syarikat korporat dan PKS menguruskan cabaran aliran tunai dan menyediakan jaminan kewangan,” kata Lee dari Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC).

“Di waktu sukar ini, perniagaan perlukan sokongan untuk terus beroperasi dan kumpulan rentan perlukan lebih banyak bantuan.”

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion untuk menangani kesan wabak Covid-19.

Berprinsipkan “tiada siapa akan ketinggalan”, Muhyiddin berkata daripada RM250 bilion itu, RM128 bilion akan dibelanjakan untuk kebajikan rakyat sementara RM100 bilion lagi diperuntukkan untuk perniagaan termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dr Shankaran Nambiar daripada Institut Kajian Ekonomi Malaysia pula berkata pakej itu menyediakan sokongan jangka pendek kepada kumpulan paling teruk terjejas dan ekonomi negara.

“Sasarannya adalah untuk memberikan wang kepada rakyat supaya mereka boleh teruskan hidup. Ia akan membantu merangsang perbelanjaan pengguna,” kata Nambiar yang merupakan felo penyelidik kanan MIER.

RM25 bilion diperuntukkan sebagai bantuan tunai kepada pekerja dan isi rumah kelas menengah, pelajar, pengecualian cukai perumahan awam dan diskaun bil elektrik.

RM5.9 bilion pula diperuntukkan untuk program subsidi gaji di mana kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan untuk pekerja bergaji bawah RM4,000.

“Subsidi gaji pastinya melegakan walaupun skim itu boleh diperkukuhkan lagi untuk menyelamatkan pekerjaan dan menjaga pendapatan pekerja,” kata Lee.

Peruntukan itu adalah tambahan kepada RM100 bilion dalam bentuk moratorium bayaran semula pinjaman bank dan kad kredit untuk beberapa bulan akan datang bagi membantu syarikat menangani kerugian operasi disebabkan wabak.

Dr Yeah Kim Leng daripada Sunway University berkata RM50 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan menerusi Danajamin juga disediakan untuk pinjaman bank dibuat syarikat.

“Ini adalah talian hayat kewangan untuk semua syarikat gunakan bagi berdepan dengan kekurangan aktiviti ekonomi yang berlaku bagi memerangi wabak,” kata Yeah yang merupakan profesor ekonomi di Sekolah Perniagaan Universiti Sunway. – 28 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen