Putrajaya umum bantuan RM250 bilion untuk rakyat


Ragananthini Vethasalam

Tiada golongan yang akan tercicir, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumum pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat berjumlah RM250 bilion bagi meringankan beban rakyat dari pelbagai peringkat dalam menangani kesan penularan wabak Covid-19.

“Tiada golongan yang akan tercicir,” katanya, dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Pakej itu hampir satu perlima daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Ia adalah lebih 10 kali ganda daripada yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lalu, dan empat kali ganda daripada yang pernah diumumkan oleh kerajaan semasa krisis ekonomi dunia pada 2009.

Daripada RM250 bilion itu, hampir RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk usahawan kecil dan sederhana sementara RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. 

Ini adalah tambahan kepada RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini oleh Dr Mahathir.

Keseluruhannya, pakej itu menambah tunai ke dalam poket rakyat serta pada masa sama, mengurangkan perbelanjaan mereka ekoran pendapatan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Pakej itu merangkumi antaranya peruntukan RM10 bilion untuk kumpulan kelas menengah atau M40, yang disalurkan secara sekali beri mengikut pendapatan isi rumah.

Pakej yang diumumkan hari ini menambah tunai ke dalam poket rakyat serta pada masa sama, mengurangkan perbelanjaan mereka ekoran pendapatan yang terjejas akibat penularan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Mac, 2020.

Ia juga menawarkan diskaun tambahan ke atas penggunaan elektrik selama enam bulan bermula 1 April serta kemudahan Internet percuma sehingga tamat tempoh perintah kawalan pergerakan.

Muhyiddin awal minggu ini mengumumkan lanjutan tempoh kawalan pergerakan sehingga 14 April.

Melalui pakej ini juga, mereka yang terjejas akibat Covid-19 diberi kelonggaran untuk menangguhkan bayaran premium insurans.

Kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk kontrak, akan mendapat bantuan sekali bayar RM500 pada bulan depan.

Untuk perniagaan, Muhyiddin juga mengumumkan antaranya dana tambahan RM4.5 bilion untuk membantu usaha kecil, selain beberapa dana lain untuk kemudahan pembiayaan.

Untuk nelayan dan petani, kerajaan memperuntukkan dana khas RM64.4 bilion bagi tujuan meningkatkan pengeluaran makanan untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Pakej ini juga menyalurkan subsidi gaji RM600 untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 selama tiga bulan, bagi syarikat yang kurang pendapatannya separuh sejak 1 Januari lalu.

Bantuan sekali bayar juga diberikan sebanyak RM500 kepada pemandu perkhidmatan tumpang kereta seperti Grab. Kerajaan sebelum ini mengumumkan bayaran RM600 sekali bayar untuk pemandu teksi bulan depan.

Untuk sektor perniagaan juga, Muhyiddin mengumumkan beberapa pengangguhan cukai dan levi.

“Langkah yang telah diperkenalkan dalam Pakej ini juga bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional. 

“Di samping itu, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan,” kata Muhyiddin. – 27 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen