SPEAKER Parlimen Indonesia, Setya Novanto dikejarkan ke hospital di Jakarta malam ini selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) untuk menyerah diri, lapor media di republik itu.
Setya “hilang” sejak malam semalam setelah KPK mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas dinamakan sebagai suspek dakwaan penyelewengan dana pemerintah berjumlah sehingga RM723 juta, bagi projek kad pengenalan biometrik.
Peguamnya mengesahkan Ketua Umum Parti Golkar itu kemalangan dan dirawat di Hospital Medika Permata Hijau.
“Beliau sekarang masih belum sedar,” kata Fredrich Yunadi, seperti dipetik oleh portal berita detiknews.com.
Menurut media, kereta yang dinaiki oleh Setya terlanggar tiang lampu.
Peguam itu menambah Setya cedera parah dengan benjol pada kepala dan akan menjalani pemeriksaan imbasan MRI, malam ini juga.
Setya sebelum ini tiga kali dipanggil untuk memberikan keterangan sebagai saksi, dan kelmarin dipanggil sebagai suspek, namun tidak sekali pun dia hadir, dengan bermacam-macam alasan.
Speaker Parlimen Indonesia diburu kes rasuah terus bersembunyi
KPK sebelum ini memberi amaran akan menyenaraikan Setya sebagai orang yang dikehendaki sekiranya gagal menyerah diri sebelum pukul 10 malam waktu Malaysia, 24 jam daripada waktu dia menghilangkan diri.
Pasukan penyiasat KPK malam semalam menyerbu kediaman Setya di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan namun selepas menggeledah bilik tidur sampai ke garaj kereta, dia tidak juga ditemui.
Peguam Setya memberitahu anak guamnya itu “dijemput oleh orang yang tidak dikenali” sebelum pasukan penguatkuasa KPK datang ke rumahnya dengan waran tangkap, lapor CNN Indonesia.
Setya minggu lepas sekali lagi dinamakan sebagai suspek kes penyelewengan projek kad pengenalan elektronik (e-KTP), dua minggu selepas membatalkan pertuduhan pertama melalui perintah mahkamah pada akhir September lalu.
KPK pertama kali menamakan speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu sebagai suspek pada 17 Julai lepas, dengan dakwaan jadi dalang utama penyelewengan dana projek tersebut sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM723 juta. Dia menafikan semua tuduhan. – 16 November, 2017.
Komen