Speaker Parlimen Indonesia diburu kes rasuah terus bersembunyi


Waran tangkap terhadap Speaker Parlimen Indonesia, Setya Novanto berhubung dakwaan penyelewengan dana pemerintah berjumlah sehingga RM723 juta. – Gambar AFP, 16 November, 2017.

SPEAKER Parlimen Indonesia, Setya Novanto, yang “hilang” selepas hendak ditangkap oleh agensi anti rasuah republik itu malam tadi, sehingga kini masih menyembunyikan diri dan gagal dikesan, hampir 24 jam setelah operasi menangkap dia di rumahnya di Jakarta Selatan tidak berhasil, lapor media di negara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) memberi amaran jangan ada mana-mana pihak melindungi ketua umum Parti Golkar itu daripada tindakan undang-undang, lapor The Jakarta Post.

“Mereka yang melindungi atau menyorok (Setya) boleh dihukum penjara tiga hingga 12 tahun, mengikut undang-undang rasuah,” kata jurucakap KPK, Febri Diansyah, seperti dipetik laman web akhbar itu.

Agensi anti rasuah itu awal hari ini memberi tempoh kepada speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berkenaan untuk menyerah diri dengan segera, dan sekiranya gagal berbuat demikian, namanya akan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Sementara itu, badan masyarakat aktivis anti rasuah mula menyebarkan poster orang buruan dengan tulisan: “Dicari Ketua DPR Setya Novanto” dan maklumat KPK untuk dihubungi.

Setya minggu lalu dinamakan untuk kali kedua sebagai suspek kes penyelewengan projek kad pengenalan elektronik (e-KTP), dua minggu selepas membatalkan pertuduhan pertama melalui perintah mahkamah pada akhir September lalu.

KPK pertama kali menamakan speaker itu sebagai suspek pada 17 Julai lepas, dengan dakwaan jadi dalang utama penyelewengan dana projek tersebut sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM723 juta. Dia menafikan semua tuduhan.

KPK setakat ini percaya Setya masih berada di Indonesia kerana tiada rekod imigresen dia sudah meninggalkan negara, malah dia sudah dikenakan sekatan perjalanan selama enam bulan sejak 2 Oktober lepas.

Agensi anti rasuah itu malam tadi mengeluarkan waran tangkap terhadap Setya berhubung dakwaan penyelewengan dana pemerintah berjumlah sehingga RM723 juta.

Namun selepas lima jam menggeledah kediamannya, dari bilik tidur sampai ke bilik pembantu rumah dan pemandu, termasuk sampai ke garaj kereta, mereka gagal menemukan dia.

Operasi ditamatkan lebih kurang pukul 3.45 pagi waktu Malaysia dengan menyita beberapa barang yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan.

Setya semalam sepatutnya hadir ke pejabat KPK di Jakarta untuk memberikan keterangan, namun dia sebaliknya mempengerusikan sidang Parlimen.

Keengganannya memberikan keterangan semalam, dengan pelbagai alasan termasuk sakit, adalah kali yang keempat.

Peguam Setya memberitahu anak guamnya itu “dijemput oleh orang yang tidak dikenali” sebelum pasukan penguatkuasa KPK datang ke rumahnya dengan waran tangkap, lapor CNN Indonesia.

Sementara itu, pelbagai pihak daripada pimpinan tertinggi republik, parti-parti politik sampailah kepada aktivis anti rasuah menggesa Setya supaya tidak mengelak jalur undang-undang, manakala rakyat umumnya menanggapi peristiwa ini dengan berjenaka dan ketawa di media sosial.

Budi Johan, jurucakap Presiden Indonesia, mengulangi kenyataan Joko Widodo yang menegaskan pertuduhan terhadap Setya hendaklah diselesaikan mengikut proses undang-undang yang sedia ada dan beliau sama sekali tidak akan campur tangan.

Pemimpin kanan Golkar, Aburizal Bakrie dalam pada itu menyeru ketua partinya itu supaya menyerah diri dan menyerah kepada undang-undang.

Di media sosial pula, rakyat Indonesia membuat pelbagai jenaka termasuk membayangkan kediaman Setya dilengkapi tempat persembunyi bawah tanah, lengkap dengan kolam renang dan tapak pelancar roket angkasa. — Agensi, 16 November 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen