106 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 1,624 kes


Bede Hong

SEBANYAK 106 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah di Malaysia mencapai 1,624 kes.

Daripada jangkitan baharu, 43 dikaitkan dengan kluster Tabligh, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Seramai 24 pesakit dibenarkan keluar dari hospital hari ini setelah pulih sepenuhnya membawa jumlah yang sudah pulih sebanyak 183 kes.

Noor Hisham juga mengesahkan kematian ke-15 Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini merupakan seorang lelaki berusia 71 tahun dari Melaka meninggal dunia di Hospital Sultanah Fatimah, Muar pagi tadi.

Lelaki berkenaan dikatakan menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi. 

Sehingga hari ini 64 pesakit kekal di unit rawatan rapi dengan 27 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 62% kes Covid-19 yang dilaporkan setakat ini dikaitkan dengan perhimpunan Tabligh yang diadakan di Masjid Jamek Sri Petaling dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Dilaporkan kira-kira 14,500 penduduk tempatan menghadiri perhimpunan itu dan pihak berkuasa terus menggesa mereka yang belum lagi menjalani pemeriksaan untuk tampil ke hadapan.

Kementerian Kesihatan kini menjalankan “pengesanan kes aktif” terhadap peserta tabligh, kata Dr Noor Hisham.

“Jadi, kita akan mengesan kumpulan tabligh bagi memastikan mereka tidak menyebarkan jangkitan.

“Pandangan kami adalah bahawa pada akhir dua minggu, apa yang kami cuba lakukan ialah kami cuba menghalang peningkatan kes dalam beberapa minggu akan datang.

“Apa yang kita lihat hari ini hanyalah apa yang kita lakukan dua atau tiga minggu lalu.”

Dr Noor Hisham berkata, kementerian berharap dapat menghalang jangkitan gelombang ketiga.

“Gelombang pertama adalah warga China.Gelombang kedua adalah 26 pesakit yang menjangkiti 114 yang lain. Kini kita melihat gelombang ketiga jangkitan yang berkait dengan kumpulan tabligh.

“Sebanyak 986 kes yang dikenal pasti setakat ini berkaitan dengan Covid-19. Mereka boleh menjangkiti generasi pertama - ahli keluarga - generasi kedua adalah kawan rapat dan generasi ketiga adalah jiran.”

Beliau berkata setakat ini, kes-kes jangkitan sporadik Covid-19 dikesan di Bentong dan Kuantan. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen