Sarawak akan tingkatkan ujian Covid-19 kepada 1,000 sehari


Desmond Davidson

Makmal di Hospital Umum Sarawak (SGH) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu akan mampu menjalankan ujian terhadap 1,000 sampel sehari berbanding 250 sampel sekarang, kata Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Sim Hui Kian. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

DUA makmal yang mempunyai pensijilan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Sarawak akan meningkatkan ujian pengesanan Covid-19 sebanyak empat kali ganda menjelang hujung minggu ini, kata Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Sim Hui Kian.

Makmal di Hospital Umum Sarawak (SGH) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu akan mampu menjalankan ujian terhadap 1,000 sampel sehari berbanding 250 sampel sekarang.

Ia akan dapat dilakukan sebaik sahaja reagent yang dibeli kerajaan negeri sampai.

Reagen itu diperlukan untuk ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) untuk mengesan virus Covid-19 dan kekurangan bekalannya membataskan kemampuan Sarawak melakukan lebih banyak ujian, kata Lim pada sidang media di Kuching.

Sarawak juga membantu kerajaan persekutuan membeli reagent bernilai RM1.5 juta disebabkan jangkaan kes jangkitan akan meningkat, katanya.

Ditanya tentang kemungkinan melanjutkan perintah kawalan pergerakan yang akan berakhir 31 Mac ini, Sim berkata perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan dan dimaklumkan.

“Tempoh inkubasi (virus) adalah 14 hari. Akan ada pesakit yang mungkin belum menunjukkan gejala virus itu,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam berkata Putrajaya hanya akan memutuskan lanjutan PKP pada 31 Mac apabila Majlis Keselamatan Negara kembali bersidang.

Setakat ini, Sarawak melaporkan 82 kes positif Covid-19, dengan lima kematian termasuk tiga sekeluarga di Kuching. – 24 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen