Keputusan bubar DUN Sarawak akan dibuat pada masa sesuai, kata KM


Pengumuman mengenai DUN Sarawak akan dibuat pada masa sesuai, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2020.

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg tidak menyatakan apabila ditanya kemungkinan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum sekiranya perkembangan politik terkini membawa kepada pembubaran Parlimen.

Beliau berkata keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat pada masa yang sesuai.

“Kami akan membuat keputusan apabila tiba masanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Integriti di Miri hari ini.

Abang Johari juga merupakan pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan empat parti berpangkalan di Sarawak yang memerintah negeri itu.

Selain daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajuinya, komponen lain parti GPS ialah Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas pihak-pihak yang terlibat membuat keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) berikutan pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan BN hilang kuasa Persekutuan buat pertama kali penubuhannya pada tahun 1973.

Dalam pilihan raya negeri pada 2016, parti itu yang bertanding di bawah simbol BN, memenangi 72 daripada 82 kerusi tetapi perwakilannya berkurangan kepada 68, tahun lepas selepas empat Adun diketuai bekas Menteri Kewangan II Sarawak Wong Soon Koh keluar daripada gabungan itu dan menubuhkan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Tempoh penggal DUN Sarawak dijangka berakhir pada Jun 2021 tetapi pemerhati politik membuat spekulasi pilihan raya negeri boleh diadakan seawal Jun tahun ini.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha GPS Alexander Nanta Linggi semalam yang memberikan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi perdana menteri, Abang Johari berkata ia dilakukan demi kepentingan negara.

“Tun Mahathir ada dan (Yang di-Pertuan) Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) melantik beliau sebagai Perdana Menteri interim. Anda tidak boleh menimbulkan kekacauan di negara ini, ia adalah kestabilan yang penting dan (kepentingan) rakyat mestilah diutamakan supaya negara stabil,” katanya lagi.– Bernama, 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen