Peniaga, penjaja kecil rayu bantuan Putrajaya


Zaim Ibrahim Alfian Z.M. Tahir Ravin Palanisamy

Seorang pekerja kedai di Kuala Lumpur menanti pelanggan tiba ketika hari ke-6 PKP dikuatkuasakan di seluruh negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Mac, 2020.

PENIAGA kecil yang merupakan antara golongan paling teruk terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini tertanya-tanya berapa lama mereka dapat bertahan.

Sejak enam hari lalu, mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan dan kini hanya dapat berharap kepada bantuan kerajaan sehingga keadaan kembali normal.

Mereka tidak yakin dengan pelan pakej ransangan ekonomi yang komprehensif untuk membantu golongan yang tejejas akibat wabak Covid-19, seperti dijanjikan perdana menteri semalam.

Muhyiddin Yassin memberi jaminan pakej itu tidak akan mengabaikan golongan peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah.

Namun peniaga kecil dan sederhana ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka sudahpun kerugian besar dalam beberapa hari sahaja selepas PKP berkuatkuasa dan memerlukan bantuan segera.

“Hasil perniagaan terjejas teruk,” kata Muhammad Arif Asyraff Rusli, 29, yang mengusahakan trak sajian di Shah Alam.

“Pada hari biasa, saya mampu meraih RM1,000 sehari daripada Food Panda dan pelanggan biasa tetapi sejak kawalan pergerakan, saya tidak mampu meraih sebarang keuntungan.

“Saya juga ada pelbagai bil yang perlu dilangsaikan. Saya harap kerajaan boleh bincang dengan bank untuk tangguhkan bayaran pinjaman kepada kami, sekurang-kurangnya untuk enam bulan,” katanya.

Arif memberitahu, beliau dan beberapa penjaja kecil lain kini bergantung harap kepada wang caruman Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) isteri mereka.

Ini memandangkan kerajaan membenarkan individu bawah 55 tahun boleh mengeluarkan RM500 sebulan daripada simpanan itu selama 12 bulan untuk menangani kesan ekonomi wabak Covid-19.

“Tetapi RM500 tidak cukup jika keadaan ini berterusan. Jika sehingga minggu hadapan kami tiada sebarang pendapatan, satu masalah yang lebih besar akan berlaku kepada kami,” jelasnya.

Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Ang Say Tee turut senada dengan Arif.

“Saya harap semua pajakan gadai, bayaran pinjaman kereta dan kedai boleh ditangguh selama enam bulan. PKP menyebabkan banyak penjaja menderita kerana mereka tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Saya mengharapkan satu berita baik daripada kerajaan menjelang 30 Mac ini. Kami sedang berhadapan dengan keadaan yang perit, kami tiada sebarang pendapatan sekarang,” kata Ang.

Seorang peniaga pasar malam di Seberang Perai, Hufaidah Sudin, 43, pula mendedahkan pendapatannya mencecah RM300 sehari hilang begitu sahaja sejak PKP mula dilaksanakan.

“Saya ada enam anak yang masih bersekolah untuk ditanggung. Suami pula bekerja sebagai pembantu kedai makan di tepi jalan tetapi sekarang perlu bercuti.

“Jadi satu keluarga kami hilang punca pendapatan. Kami hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang, sejak arahan PKP dikeluarkan kami tiada lagi pendapatan.

Sekarang keluarga saya guna duit simpanan dan tunggu bantuan yang akan disalurkan oleh pusat dan kerajaan negeri,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Peniaga nasi lauk campur di Machang Bubuk, Hassan Mat Sidek, pula berkata beliau terpaksa menutup gerainya kerana pelanggan juga tidak datang kerana PKP.

Walaupun tahu beliau masih boleh menyediakan makanan bungkus tetapi, gerainya yang banyak bergantung kepada pekerja kilang kini tidak lagi datang kerana bercuti.

“Saya pun tidak berani buka kedai sebab takutlah berjangkit Covid-19 daripada mana-mana orang.

Tetapi sekarang ini dah tutup enam hari, kami tiada pendapatan lansung. Untuk perbelanjaan dapur dan barang keperluan, kita gunakan duit simpanan yang ada,” jelas Hassan, 62.

PKP dikuatkuasa sehingga 31 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Dalam tempoh kawalan ini, rakyat tidak dibenarkan berkumpul dan berada di luar rumah manakala kebanyakan industri yang tidak penting dan pejabat tutup.

Rakyat juga hanya dibenarkan keluar rumah untuk membeli makanan, keperluan dan untuk mendapatkan perubatan dan bertugas di sektor penting negara.

Kesan penutupan kegiatan ekonomi itu bukan sahaja menjejaskan pengusaha makanan dan penjaja tetapi juga perniagaan lain.

Zaini Mohd Farouk, 30, memberitahu perniagaan sewa keretanya terjejas teruk akibat perintah itu.

“Sesiapa pun tidak mahu sewa kereta, apabila rakyat tidak dibenarkan keluar rumah. Kereta saya tidak disewa berhari-hari sedangkan saya masih perlu membayar pinjaman.

Kerajaan tidak membantu kami, kami tiada akaun KWSP. Saya terpaksa meminta bantu ibu bapa dan kawan-kawan untuk membayar pinjaman kereta,” katanya.

Beliau menambah, perniagaan runcit dan farmasi pula begitu baik dalam situasi semasa.

Peniaga kecil dan sederhana paling terkesan dengan langkah PKP dilaksanakan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac,2020

Seorang pengusaha perkhidmatan katering jamuan, Pannir juga mengeluh kerana tidak meraih sebarang pendapatan sejak enam hari lepas.

Jelasnya, pelanggan yang menempah perkhidmatannya untuk majlis perkahwinan sudahpun menangguhkan dan membatalkan tempahan.

“Ada yang minta ubah tarikh, ada yang minta bayaran balik kerana mereka tidak pasti bila tarikh baru boleh ditetapkan.

“Jadi saya setakat enam hari ini, tiada langsung pendapatan tetapi saya masih perlu membayar gaji pekerja, pinjaman, sewa rumah, dan lain-lain,” katanya.

Beliau kehilangan peluang besar untuk berniaga kerana ramai pasangan India biasanya mengadakan majlis perkahwinan pada waktu ini.

Jelas Pannir, jika PKP dilanjutkan, ia adalah mengundang malapetaka kerana semua perniagaan tidak mampu bertahan.

“Kesan PKP bukan sahaja kepada orang miskin. Ya, mereka menderita lebih teruk dan kami dari golongan pertengahan tetapi apabila kerajaan umumkan bantuan, ia perlu kepada semua golongan.

“PKP adalah satu tindakan yang amat baik tetapi jika dilanjutkan, ia satu malapetaka. Kami bergantung kepada tempahan pada waktu ini.

“Jika tiada tempahan, bagaimana kami mahu hidup dan bayar semua tanggungan?” tambahnya.

Pannir juga mencadangkan supaya ada pengecualian bayaran balik pinjaman bulanan bagi ahli perniagaan untuk sekurang-kurangnya dua bulan.

“Dengan langkah ini, kami mampu pulihkan kerugian kami. Ia sangat membantu,” katanya.

Muhyiddin semalam mengumumkan Majlis Keselamatan Negara akan memutuskan pada 30 Mac sekiranya PKP perlu dilanjutkan.

Kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 14 orang semalam, dengan penambahan kes 212 orang.

Sebanyak 1,518 kes dengan 1,345 pesakit sedang dirawat, 57 daripadanya kini di wad unit rawatan rapi. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Adakah anda tahu bahawa anda boleh memperoleh keuntungan harian, mingguan atau bulanan dari keselesaan kediaman anda? PELABURAN CARLOS hadir untuk merealisasikan impian anda untuk menjadi jutawan bitcoin, syarikat ini melaksanakan amalan perdagangan & perolehan terbaik di pasaran Forex, dan juga menawarkan rancangan pelaburan yang sesuai untuk mereka yang ingin mengambil bahagian dalam ini


    Inilah rancangan pelaburan

    Melabur $ 300 Dapatkan $ 3000 dalam 7 hari
    Melabur $ 500 Dapatkan $ 5000 dalam 7 hari
    Melabur $ 1000 Dapatkan $ 10000 dalam 7 hari
    Melabur $ 2000 Dapatkan $ 20000 dalam 7 hari
    Melabur $ 5000 Dapatkan $ 50000 dalam 7 hari


    Sekiranya anda berminat dengan tawaran pelaburan ini, sila hubungi melalui e-mel: [email protected] atau teks +15022064419

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Carlos oscar · Ulasan