Rakyat perlukan bantuan tunai, kata penganalisis 


Bede Hong

Langkah kerajaan dilihat mengetepikan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tiada caruman KWSP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

KERAJAAN perlu membuat suntikan tunai terus ke dalam poket rakyat walaupun pakej rangsangan yang diperluaskan dan bukannya mengurangkan simpanan persaraan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata penganalisis.

Pencarum tidak sepatutnya mengambil wang daripada dana simpanan mereka sendiri yang merupakan simpanan untuk persaraan yang mengakibatkan kerugian dividen yang besar.

“Kita memerlukan jaringan keselamatan untuk individu, keluarga dan perniagaan,” kata Wong Chin Huat dari Institut Jeffrey Cheah di Asia Tenggara.

“Tanpa jaring keselamatan seperti itu, PKP (perintah kawalan pergerakan) tidak akan berfungsi atau banyak yang akan dibuang kerja selepas PKP.”

PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac. Rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk membeli makanan dan barangan keperluan harian dan kecemasan perubatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mungkin akan pertimbangkan untuk melanjutkan tempoh PKP berikutan peningkatan kes jangkitan dan kematian setiap hari.

Semalam, beliau mengumumkan pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan maksimum RM500 sebulan bagi tempoh maksimum 12 bulan daripada Akaun 2. Permohonan boleh dibuat bermula 1 April. 

“Kita harus menerima fakta ini: bukan sahaja sebahagian daripada kita akan mati, kita - semua orang dalam ekonomi - akan menjadi miskin bersama, dan golongan miskin mesti mendapat sokongan daripada kerajaan sekarang, dengan kos yang akan dikenakan cukai yang lebih tinggi pada semua orang kemudian,” kata Wong.

“Kamu tidak boleh mengharapkan pesara untuk terus hidup dengan tambahan RM500 sebulan. Kerajaan perlu menyediakan manfaat kebajikan kepada golongan miskin. PKP tidak boleh berfungsi jika orang mati kelaparan.

“Secara simbolik, para menteri dan timbalan perlu mengambil potongan gaji dan elaun untuk disalurkan ke golongan miskin,” katanya.

Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) dalam kenyataannya selepas pengumuman itu semalam menggesa Putrajaya membatalkan langkah itu dan perlu ada keberanian moral untuk menggunakan dana kerajaan bagi membantu rakyat tanpa menyentuh simpanan persaraan mereka. 

Pengarah Institut Asia, University of Tasmania, James Chin berkata kerajaan pada dasarnya cuba menangani satu masalah dengan membuat satu lagi masalah di masa depan.

“Pencarum KWSP dengan deposit yang lebih kecil akan menyaksikan akaun mereka berkurangan lebih awal. Apabila bersara, mungkin sangat sedikit duit yang tinggal.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah memindahkan masalah ke masa depan dan ia bukan idea yang baik. Memberi wang tunai kepada golongan pendapatan isi rumah bawah 40 (B40) adalah idea yang lebih baik.”

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi berkata, kerajaan dilihat tidak mempedulikan golongan miskin dan mereka yang bukan pencarum KWSP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

Chin mencadangkan kerajaan memperluaskan pakej rangsangannya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menampung upah dan kos lain.

“Bagaimanapun, sektor swasta kebanyakannya terdiri daripada bukan Melayu. Kebanyakan orang Melayu terdiri daripada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan perkhidmatan awam. Oleh itu, ini adalah ujian sama ada kerajaan Perikatan Nasional yang baru adalah kerajaan untuk semua rakyat Malaysia,” tambah Chin.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, kerajaan dilihat tidak mempedulikan golongan miskin dan bukan pencarum KWSP. 

“Mereka yang tiada caruman KWSP diketepikan dan tiada peluang menerima bantuan. Ini sangat mecabar untuk mereka harungi situasi wabak Covid-19.

“Pengumuman Muhyiddin dilihat sebagai langkah terdesak, yang menjadi petanda kerajaan mungkin kekurangan dana untuk berdepan krisis ini,” katanya.

Awang Azman berkata kerajaan baharu perlu lebih kreatif.

“Apa sahaja dana perlu digunakan untuk memulihkan ekonomi. Salah satu caranya adalah menggalakkan perbelanjaan,” katanya dan menambah ia mungkin boleh dilakukan dengan suntikan tunai kepada pekerja. 

Muhyiddin juga berkata pakej rangsangan ekonomi yang lebih menyeluruh meliputi perniagaan kecil dan golongan berpendapatan rendah akan diumumkan pada 30 Mac. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen