MTUC bantah penggunaan simpanan KWSP tangani kesan Covid-19 


Menurut MTUC, langkah kerajaan itu akan memberi kesan kepada dividen tahunan pencarum KWSP.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

PUTRAJAYA perlu menggunakan dananya bagi membantu rakyat menangani kesan Covid-19, dan bukan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mengeluarkan simpanan mereka, kata Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC). 

Langkah yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini perlu dibatalkan.

“Pendirian MTUC dalam situasi kini sangat mudah  – jangan sentuh KWSP pekerja, potong gaji mereka atau memecat mereka kerana kesan sosial memang serius.

“Kami menggesa kerajaan untuk fikirkan semula langkah ini dan batalkannya,” kata MTUC dalam satu kenyataan. 

Muhyiddin berkata, pencarum KWSP di bawah umur 55 tahun boleh mengeluarkan maksimum RM500 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan daripada Akaun 2. 

Langkah kerajaan itu adalah susulan perniagaan terjejas akibat Covid-19 dan ramai pekerja yang tidak dapat bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan. 

Namun menurut MTUC, langkah Putrajaya akan mengakibatkan kehilangan dividen tahunan dan kompaun dalam jangka panjang dari dana yang digunakan untuk persaraan pekerja.

“Kerajaan sepatutnya memiliki keberanian moral untuk menggunakan dananya dan menyalurkan wang ini terus ke poket pekerja tanpa perlu menjejaskan simpanan lama mereka.

“Kebanyakan ahli menggunakan akaun 2 mereka untuk mengurangkan bayaran pinjaman perumahan dan simpanan untuk kepentingan mereka. Mereka juga bergantung kepada akaun ini untuk pendidikan tinggi dan keperluan perubatan,” kata MTUC.

Kesatuan itu menambah bahawa langkah itu adalah sama dengan menggunakan simpanan pekerja untuk salurkan RM50 bilion ke dalam ekonomi untuk sepanjang tahun.

“Ini bukan perkara yang betul untuk dilakukan. Ia sama seperti seseorang ‘merompak’ simpanan sendiri, yang timbul daripada kegagalan kerajaan untuk melindungi rakyatnya.”

MTUC berkata, pihaknya telah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan pagi ini bahawa Putrajaya harus menggunakan dana rizabnya untuk menyediakan pinjaman tanpa faedah sekurang-kurangnya RM5,000 setiap satu kepada keluarga yang memerlukan semasa krisis Covid-19.

Pembayaran balik boleh dilakukan melalui potongan gaji sebaik sahaja keadaan kembali normal, kata kongres tersebut.

MTUC juga tidak bersetuju dengan langkah untuk membenarkan pencarum KWSP mengurangkan caruman bulanan mereka sebanyak 4% mulai bulan depan, yang diumumkan sebelum perintah kawalan pergerakan Covid-19.

Menurut kesatuan itu, ia akan memberi kesan kepada simpanan pekerja. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen