Jurunikah dikuarantin, Selangor tangguh semua akad nikah


Seorang penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah di Selangor disyaki kontak rapat dengan individu positif Covid-19 semasa menjalankan akad nikah. – Gambar Opposite Image, 20 Mac, 2020.

SELANGOR menangguhkan semua urusan berkaitan permohonan kebenaran perkahwinan dan majlis akad nikah selepas beberapa jurunikah agensi berkenaan kini dikuarantin kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

Jabatan Agama Islam Selangor menyebut, terdapat penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah disyaki kontak rapat kepada kepada individu positif Covid-19 semasa menjalankan akad nikah.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad memberitahu The Malaysian Insight, tiga jurunikahnya, masing-masing dari daerah Hulu Langat, Petaling, dan Klang berusia lingkungan 50-an kini perlu dikuarantin.

Dengan itu juga, kesemua urusan berkenaan ditangguh sehingga Perintah Kawalan Pergerakan berakhir, kata Shahzihan.

Jelasnya, berkata, langkah penangguhan itu juga dibuat kerana penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah yang lain khuatir dengan keselamatan dan kesihatan mereka.

“Mereka yang dikuarantin ini kita pun tak pasti dapat kontak daripada pengantin atau keluarga pengantin,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga individu itu disahkan negatif sewaktu saringan, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan agar terus dikuarantin.

Malah, pihaknya juga kecewa kerana orang ramai seakan-akan tidak mengendahkan arahan dalam tatacara majlis akad nikaj Jais yang menetapkan majlis akad nikah hanya boleh dihadiri 10 individu.

Sedangkan ketetapan itu dibuat bagi membolehkan orang ramai menghormati perintah sekatan pergerakan yang ditetapkan kerajaan.

“Sebelum ini kita benarkan majlis akad nikah, dengan beberapa peraturan berdasarkan tatacara majlis akad nikah, tetapi orang ramai tidak ambil berat.

“Kawalan kami dah buat, tapi ada kes yang bila jurunikah kita sampai di rumah, kita lihat dalam rumah dia hanya ada lima hingga enam orang tetapi dibelakang ada lagi rombongan lelaki, perempuan.

“Sehinggakan ada kes di Hulu Langat, ada jiran yang takut dan buat laporan polis dan memaksa polis datang nasihatkan supaya bersurai,” katanya.

Tambahnya, tindakan sedemikian boleh menjejaskan imej institusi agama seperti Jais di mata orang ramai.

“Nanti ada fitnah kata demi upah RM70, jurunikah sanggup langgar Perintah Kawalan Pergerakan, sedangkan orang ramai yang tidak mengendahkannya,” kata Shahzihan.

Shahzihan berkata, pihak yang terkesan dengan penangguhan itu juga tidak perlu khuatir kerana kebenaran untuk mereka melakukan upacara berkenaan mempunyai sah laku selama tiga bulan.

“Cuma kita faham, sekarang musim cuti sekolah, jadi mereka nak kejarkan waktu ini,” katanya, lagi.

Terdapat lebih 400 penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah di seluruh Selangor. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen