Guna akal budi, bukan kerah tentera


Jahabar Sadiq

Sejak wabak Covid-19 mula dikesan di Malaysia pada 24 Januari, polis sudahpun menjalankan tugas mereka sepertimana pasukan perkhidmatan kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

SELEPAS tiga hari pentadbiran Muhyiddin Yassin merosakkan operasi mengawal pergerakan di seluruh Malaysia untuk membendung Covid-19, kini beliau mahu mengerahkan tentera ke lapangan.

Tindakan ini amat salah dan tidak perlu.

Polis hanya bertindak semalam untuk mengkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 hingga 31 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19.

Pihak berkuasa menyebut, hanya 60% rakyat mematuhi arahan tidak keluar rumah.

Tetapi tindakan mengerahkan tentera menunjukkan rakyat tidak mematuhi polis mahupun kerajaan dan hanya patuh kepada tentera. Benarkah begitu?

Polis sudahpun menjalankan tugas mereka, sepertimana pasukan perkhidmatan kesihatan sejak penyakit itu mula dikesan di Malaysia pada 24 Januari.

Apa yang perlu dibuat mudah – nyatakan penyakit ini membunuh dan tidak mendiskriminasi.

Satu-satunya orang yang dipercayai rakyat Malaysia waktu ini adalah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Semua menteri kerajaan yang muncul di siaran televisyen dan membuat kenyataan merosakkan perkara yang perlu disampaikan.

Kerahan tentera tidak akan menjadikan keadaan lebih baik. Malaysia hanya memerlukan kerahan tentera sewaktu 13 Mei dan sebagai tindakan berjaga-jaga sewaktu ancaman pengganas Daesh.

Apa yang kita perlukan adalah akal budi.

Perkara ini amat kurang sewaktu pihak berkuasa mengarahkan semua universiti dan kolej ditutup tanpa memikirkan terdapat pelajar dari serata Malaysia dan dunia yang tiada tempat tujuan, atau yang mungkin membawa pulang virus itu kepada keluarga di kampung.

Kurang akal budi apabila meminta pengguna memohon permit di balai polis untuk perjalanan antara negeri.

Kurang akal budi apabila rakyat disekat daripada menjemput saudara yang merupakan doktor dan jururawat yang baharu menamatkan tugas berat memerangi jangkitan ini.

Rakyat Malaysia juga kurang akal budi kerana tidak dapat memahami betapa seriusnya wabak ini yang membunuh lebih 9,000 orang di seluruh dunia dan lebih ramai lagi jika sebarannya tidak diputuskan.

PKP sangat mudah. Duduk di rumah. Kekal sihat. Peluang untuk mati berkurangan.

Malaysia sudah ada dua kematian disebabkan Covid-19. Jumlah ini boleh naik dan setiap seorang daripada kita, termasuk polis di lapangan dan doktor, jururawat, juruteknik makmal yang memeriksa sampel serta kakitangan pasar raya dan kedai runcit dan peniaga pasar mungkin mati.

Biarlah tentera kekal di berek. Mereka menjadi barisan pertahanan terakhir sekiranya keadaan menjadi bertambah buruk.

Ahli politik yang tidak boleh berfikir dengan baik seelok-eloknya letak jawatan dan biarkan krisis ini ditangani pakar.

Biar polis jalankan tugas melindungi kita. Biar kakitangan kesihatan bertugas menyelamatkan kita.

Ahli politik boleh berkhidmat dengan tidak mengacau tugas ini dan tidak membuat keputusan terburu-buru. – 20 Mac, 2020.

* Jahabar Sadiq pengendali The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Guna akal dan budi celah mana? Sebab dok guna akal budi tu orang dok langgar lagi. Sebab akal budi tu orang dok buat sambil lewa. Anggap macam takade apa-apa. Polis dok cakap buat tak tahu ja. Siap cakap pakai speaker, takde tang terkesan. Polis buat road block, kene rempuh. Bahagian mana yang akal budi boleh bendung kalau rakyat malaysia (sesetengah) sendiri dok degil? Da merayu-rayu minta tolong dekat rakyat supaya duduk dalam rumah? Tapi bagaikan angin lalu. Takde apa-apa.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ben Gargoyle · Ulasan

  • Inilah masyarakt kita hari ini yang telah melalui sistem pendidikan yang tidak menitikberatkan kepentingan disiplin diri. Disiplin di sekolah-sekolah kini begitu teruk sahingga ada sekolah dimana guru-guru takuti pada murid-murid mereka. Murid-murid yang tidak didisiplinkan disekolah tidak akan jadi orang dewasa berdisiplin. Maka yang harus disalahkan ialah sistem persekolahan yang telah merosot dan telah menghasilkan masyarat yang tidak berdisiplin diri, yang tidak tahu menghormati peraturan-peraturan.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan