MAHB kata semua penumpang jalani saringan suhu badan


Ravin Palanisamy

Semua penumpang menjalani saringan suhu badan sebaik tiba di lapangan terbang seluruh negara, kata MAHB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2020.

SARINGAN suhu badan penumpang masih dibuat di semua lapangan terbang seluruh negara, kata Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu berkata Kementerian Kesihatan sudah meletakkan pengesan haba di seluruh lapangan terbang negara ini dan menyaring semua penumpang penerbangan antarabangsa.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan The Malaysian Insight mengenai penumpang yang baharu tiba dari luar negara mendakwa mereka tidak menjalani saringan suhu badan sebaik tiba di lapangan terbang utama negara.

Bagaimanapun, MAHB berkata penumpang berkenaan mungkin tidak menyedari saringan dilakukan kerana melepasi pengesan haba itu.

“Saringan suhu untuk semua penumpang ketibaan antarabangsa dilakukan oleh Jabatan Kesihatan. Ia dilakukan untuk semua ketibaan laluan antarabangsa.

“Ini masih berlaku menggunakan pengesan terma jadi penumpang mungkin tidak sedar mereka melaluinya,” kata seorang pegawai MAHB kepada The Malaysian Insight.

Pengesan terma digunakan untuk menyaring suhu badan tinggi berkaitan dengan jangkitan penyakit yang boleh menyebabkan wabak.

Kamera terma bagaimanapun hanya boleh mengesan suhu badan tinggi atau jika seseorang mengalami demam.

Sekiranya seseorang itu dikesan demam, MAHB berkata Jabatan Kesihatan akan mengasingkan mereka dan memindahkan penumpang ke Hospital Sungai Buloh.

Ditanya tentang borang soal selidik diberikan kepada penumpang ketibaan antarabangsa, MAHB berkata ia dilakukan Jabatan Imigresen untuk mengukuhkan langkah keselamatan di lapangan terbang.

“Soal selidik itu adalah langkah keselamatan tambahan dibuat Jabatan Imigresen untuk semua yang tiba mengisytiharkan status kesihatan mereka,” katanya.

MAHB menambah yang mereka sudah meletakkan notis tentang saringan suhu badan dan kuarantin sendiri dipaparkan di papan tanda digital seluruh terminal KLIA dan klia2. – 19 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen