Penumpang tiba di KLIA, klia2 dakwa suhu tidak diperiksa


Ravin Palanisamy

Penumpang yang tiba di KLIA, klia2 mendakwa hanya sedikit maklumat disediakan menerusi poster atau kain rentang tentang keperluan rakyat untuk melakukan kuarantin secara sukarela apabila pulang dari luar negara.

KALANGAN penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa  Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 mendakwa suhu mereka tidak diperiksa walaupun Malaysia memasuki hari kedua pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19.

Mereka yang ditemubual The Malaysian Insight di luar balai ketibaan turut mendakwa hanya sedikit maklumat disediakan menerusi poster atau kain rentang tentang keperluan rakyat untuk melakukan kuarantin secara sukarela apabila pulang dari luar negara.

Bagaimanapun di terminal utama KLIA, penumpang yang tiba dari luar negara diberikan kad amaran kesihatan dengan nasihat melakukan kuarantin.

Suhu mereka tidak diperiksa tetapi diberikan borang soalan ketika menunjukkan pasport di pusat pemeriksaan imigresen. Mereka perlu memulangkan borang itu kepada pegawai imigresen.

Seorang penumpang yang tiba dari London yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 20, berkata soalan dalam borang itu bertanyakan sama ada penumpang melawat China, Itali, Iran dan Sepanyol baru-baru ini.

Kesemua negara itu merekodkan kadar jangkitan dan kematian yang tinggi akibat Covid-19.

“Saya tidak nampak sebarang pengimbas suhu. Mereka hanya  meminta saya mengisi borang itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lee berkata beliau tidak nampak sebarang papan tanda penting untuk memperingati penumpang melakukan kuarantin sebaik tiba di Malaysia.

Tetapi katanya pegawai imigresen yang memeriksa pasportnya meminta dia berbuat demikian.

“Selepas saya memulangkan borang, saya diberikan kad amaran kesihatan untuk kuarantin diri sendiri selama 14 hari dan saya perlu datang ke hospital terdekat jika mengalami sebarang simptom,” kata Lee.

Seorang pelajar yang baru pulang dari Mesir, Muhammad Yusof, 24, berkata dia juga melalui pengalaman yang sama seperti Lee.

“Tiada pengimbas suhu atau pemeriksaan suhu dilakukan ketika penumpang tiba. Hanya perlu menjawab soalan dalam borang dan sekeping kad Kementerian Kesihatan diberikan dengan nasihat melakukan kuarantin.

“Selain dari itu, tiada apa lagi dilakukan. Anda boleh berjalan keluar dari balai ketibaan,” katanya.

Muhammad berkata ketiadaan rutin pemeriksaan suhu terhadap penumpang yang tiba mengundang risiko penularan Covid-19 dengan lebih pantas.

Semalam, Malaysia merekodkan 790 kes keseluruhan jangkitan dengan dua kematian.

15 pesakit kini mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Anda tidak tahu siapa yang sakit. Apa akan jadi jika seseorang mempunyai virus itu tetapi dia sendiri tidak tahu atau tidak mengisytiharkan secara jujur dalam borang itu.

“Kita tidak wajar mengambil risiko sebegitu,” kata Muhammad. – 19 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen