Pihak berkuasa seru penumpang bas JB-Kuantan jalani ujian Covid-19


Penumpang yang positif Covid-19 menaiki bus dari JB Sentral ke Terminal Kuantan pada jam 4 petang pada Isnin. – Gambar Facebook, 19 Mac, 2020.

SUSULAN seorang penumpang bas antara negeri didapati positif Covid 19, pihak berkuasa kesihatan Kuantan menyeru mereka yang berada dalam kenderaan sama tampil untuk menjalani saringan kesihatan, menurut laporan media.

Penumpang itu dari Johor Bahru ke Kuantan pada Isnin lalu, dua hari sebelum perintah kawalan pergerakan Putrajaya bermula.

Menurut TheSundaily, penumpang berkenaan menaiki bus Plusliner dengan plat pendaftaran VDJ 2367 dari JB Sentral ke Terminal Kuantan pada jam 4 petang pada Isnin.

Beliau sebelum itu ke klinik kerajaan untuk menjalani saringan tetapi sebelum keputusan diperoleh, beliau menaiki bas ke Kuantan.

Malaysia menyaksikan lonjakan dalam kes Covid-19 sejak minggu lalu dengan 790 kes disahkan dilaporkan semalam, sebahagian besarnya ada kaitan dengan himpunan tabligh.

Seramai 60 orang pulih dan dibenarkan keluar dari hospital dengan dua kematian direkodkan.

Kira-kira 16,000 orang menghadiri acara tiga hari itu pada 27 Februari, dengan 14,500 adalah penduduk tempatan.

Jangkitan dilaporkan di Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia dan Kemboja yang dikaitkan dengan himpunan itu. – 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen