4,000 peserta himpunan tabligh belum jalani ujian Covid-19


Kementerian Kesihatan menyeru mereka yang terlibat dalam himpunan tabligh di masjid Sri Petaling pada akhir Februari lalu tampil menjalani ujian Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2020.

KIRA-KIRA 4,000 rakyat Malaysia yang menyertai himpunan tabligh di masjid di Sri Petaling pada akhir Februari masih belum menjalani ujian Covid-19.

Kira-kira 10,500 daripada 14,500 peserta sudah menjalani ujian Covid-19, kata Kementerian Kesihatan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam saluran Telegram kementerian itu, seramai 10,553 sudah diperiksa pada tengah malam semalam.

“Sebanyak 4,986 sampel telah diambil dan 513 dikenal pasti positif virus itu,” katanya.

Seorang peserta tabligh yang dijangkiti meninggal dunia pada Selasa di unit penjagaan rapi Hospital Sultanah Aminah Hospital Johor Baru.

Lelaki berusia 34 tahun itu mengalami demam pada 5 Mac dan dimasukkan ke Hospital Permai pada 12 Mac.

Ramai peserta tabligh enggan menjalani ujian dan pihak berkuasa kesihatan mendesak mereka tampil ke depan.

“Kami menggesa mereka yang hadir himpunan datang untuk ujian Covid-19,” kata Noor Hisham.

Semalam, perintah sekatan pergerakan dua minggu berkuatkuasa, dan orang ramai dinasihatkan duduk di rumah dan mengamalkan jarak sosial jika perlu keluar untuk mendapatkan perkhidmatan penting.

Malaysia menyaksikan pertambahan kes Covid-19 minggu lalu dengan 790 kes disahkan dilaporkan semalam, sebahagian besarnya dikaitkan dengan himpunan tabligh.

Seramai 60 orang pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala dua kematian direkodkan.

Kira-kira 16,000 orang menghadiri acara tiga hari itu pada 27 Februari, dengan jumlah 14,500 orang adalah penduduk tempatan.

Jangkitan dikesan ada kaitan dengan himpunan itu dilaporkan di Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia dan Kemboja. – 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen